“Tuhan mahu Kuzain tolong Harimau Malaya layak ke Piala Dunia” – bapa Wan Kuzain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mungkinkah Wan Kuzain Wan Kamal sudah berputus asa untuk memburu tempat di dalam skuad senior Amerika Syarikat?

Persoalan itu timbul setelah bapa kepada pemain itu, Wan Kamal Wan Napi menyatakan pemain itu sudah bersedia untuk memperkuatkan Harimau Malaya.

Sebelum ini, Wan Kuzain yang pernah dipanggil untuk membarisi skuad B-23 kebangsaan di Sukan SEA 2019 (kemudian diketepikan kerana masalah dokumentasi) dilaporkan tidak berminat untuk menyarung jersi Malaysia di peringkat senior, demi mengejar impian untuk bermain di Piala Dunia bersama Amerika Syarikat.

Dia yang lahir dan membesar di negara ‘uncle Sam’ itu pernah menyarung jersi pasukan B-17 Amerika Syarikat.

Pada usia Wan Kuzain yang kini 22 tahun, prestasinya sedang berada di tahap terbaik tetapi ia mungkin terlalu jauh untuk dia yang bermain di Liga Divisyen Dua bersama Rio Grande Valley FC memecah masuk ke dalam skuad senior Amerika Syarikat.

Justeru dia nampaknya akan menetapkan halatuju masa depan bersama Harimau Malaya, dengan Wan Kamal berkata sudah tiba masanya skuad negara yang tampil dengan prestasi hambar di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 diperkuatkan pemain generasi baru.

“Sudah tentu, ia bukan mudah tetapi Harimau Malaya ada masa depan yang cerah. Ini masanya untuk membawa generasi baru pemain muda yang berbakat mewakili negara. Tanpa ragu, saya percaya Wan Kuzain sudah bersedia membantu Malaysia di pentas antarabangsa selepas ini,” ujar Wan Kamal.

Wan Kamal bagaimanapun tidak bersetuju untuk mengatakan ia adalah tindakan u-turn daripada pemain itu, sebaliknya ia adalah perancangan Tuhan.

“Kena faham setiap pemain di dalam dunia ini bercita-cita dan menaruh harapan yang tinggi untuk bermain dalam Piala Dunia apatah lagi tenaga, masa, wang ringgit sudah dibelanjakan.

“Sekali lagi, ini bukan soal pusingan U. Kita hanya boleh merancang tetapi Tuhan ada perancangan lebih baik, Tuhan menentukan ke mana halatuju dia. Jadi, saya yakin bahawa Tuhan mahukan Wan Kuzain membantu Malaysia layak ke Piala Dunia,” ujarnya.

Dengan peluang untuk ke Piala Dunia 2022 sudah tertutup, skuad negara perlu mencuba untuk layak ke Piala Dunia 2026, pusingan kelayakan untuk pertandingan itu dijangka bermula pada 2023.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.