Tun M minta kerajaan tidak gopoh tamatkan PKP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan kerajaan agar tidak terburu-buru menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP yang bermula 18 Mac lalu telah dua kali dilanjutkan, telahpun masuk ke fasa ketiga di mana ia akan berakhir pada 28 April depan, namun Tun Dr Mahathir berkata keputusan untuk menamatkan PKP perlu dikaji dengan cukup teliti bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menyerang kembali.

“Kenal pasti dahulu langkah-langkah pencegahan yang telah kita ambil, adakah benar-benar berjaya seperti pemakaian penutup mulut dan hidung, jarak sosial dan arahan duduk di rumah, satu persatu perlu dikaji dan apa kesannya jika kita hentikan walaupun satu daripadanya.

“Apa kesannya juga jika kita tamatkan satu langkah tetapi kita teruskan langkah lain. Itu semua memerlukan perhatian pakar-pakar terhadap data dan angka kerana kita tidak mahu apabila PKP ditamatkan, virus itu berkembang balik di dalam negara,” katanya dalam Sembang Live yang dihoskan Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru dari Sunway Medical Centre Velocity, Kuala Lumpur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Beliau turut memberikan Sweden sebagai contoh, di mana menurutnya negara itu telah membenarkan rakyatnya untuk keluar dari rumah berikutan yakin bahawa sudah berjaya meredakan wabak itu, namun ia kemudiannya menyerang kembali.

“Ini kita lihat sudah berlaku di beberapa tempat seperti Sweden, ini semua by try and error. Kalau kita dapati tindakan kita itu berkesan okay, tetapi kalau kita dapati tindakan kita itu menjadikan keadaan lebih buruk, kita perlu batalkan keputusan.

“Ini akan berterusan untuk tempoh lama, tidak ada satu tarikh yang mana kita boleh kata, kita sudah bebas dan boleh balik seperti dahulu kala, malah kita tidak boleh tentu bila PKP akan tamat kerana respons kerajaan seharusnya bergantung mengikut keadaan terkini,” katanya yang juga doktor perubatan.

Foto ehsan : azhan.co

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.