Tunggakan gaji bukan isu besar pun, tak perlu nak kecoh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Minggu lalu, penyokong bolasepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain-pemain pasukan Sabah FC memboikot sesi latihan, dipercayai ada kaitan dengan masalah tunggakan gaji.

Pemain-pemain dilaporkan tidak menerima gaji selama tiga bulan manakala barisan kejurulatihan pula selama empat bulan.

Tiada maklumat sahih diperolehi walaupun Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC Khairul Firdaus Akbar Khan menafikan kedua-dua perkara tersebut (boikot sesi latihan dan tunggakan gaji).

Khairul Firdaus berkata memang berlaku kelewatan pembayaran gaji manakala tunggakan pula tidak pernah melebihi sebulan.

Tetapi sehari kemudian, dua pemain iaitu kapten pasukan Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin tidak dibawa bersama ke Pulau Pinang, dipercayai diketepikan kerana bersuara mengenai tunggakan gaji sehingga menyebabkan berlakunya insiden boikot tersebut.

Jadi, adakah ini bermakna Khairul Firdaus cuba menyembunyikan kebenaran?

Salah seorang pemain berpengalaman di dalam skuad Sabah FC, Mafry Balang membuka mulut mengenai perkara tersebut di mana dia memberitahu tunggakan gaji yang berlaku bukanlah satu isu besar.

”Pemain dan pengurusan tidak mempunyai masalah dengan isu yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini (tunggakan gaji).

”Sebenarnya, masalah ini bukan serius malah pengurusan pasukan selama ini memang menjaga kebajikan pemain. Dan sebagai satu pasukan juga, kita tidak boleh berkongsi masalah berkaitan pasukan, sama ada masalah kecil atau besar di media sosial.

”Kita semua menganggap pasukan ini sebagai satu keluarga dan sebaik-baiknya kita berbincanglah sebagai satu keluarga apa pun masalah yang dihadapi,” kata Mafry Balang yang ditemui selepas Majlis Sungkai Sabah FC bersama anak-anak yatim di Sabah International Convention Center.

Sebenarnya benar kata Mafri, apa jua isu selesaikan secara bersemuka dan cuba cari solusi namun apa yang dikhuatiri, perkara yang dilihat kecil pada hari ini akan menjadi besar pada esok hari.

Pemain-pemain yang bersabar pada hari ini kerana memberi muka kepada pengurusan mungkin akan hilang sabar pada hari esok, termasuklah Mafri Balang sendiri dan pada akhirnya menjejaskan prestasi pasukan dengan teruk.

Itulah yang berlaku pada 2018, disebabkan pemain Sabah FC mengambil mudah isu tunggakan gaji, dari sebulan ia melarat ke empat bulan dan akhirnya pada ketika mereka berpeluang mencipta kejutan layak ke final Piala Malaysia, mereka kecundang 5-0 kepada Perak dalam aksi separuh akhir.

Jurulatih Sabah FC ketika itu Jelius Ating mengakui masalah tunggakan gaji antara punca pemainnya tidak dapat memberikan tumpuan penuh.

Malah jika dilihat kepada prestasi Sabah FC pada musim ini, ia tidaklah begitu memberangsangkan apabila mereka sekadar mencatat satu kemenangan dan dua seri dari lapan perlawanan yang telah diharungi.

Jika isu tunggakan gaji adalah punca prestasi suram Sabah FC ketika ini, maka pengurusan jangan mengambil mudah perkara ini dan berusahalah untuk menyelesaikannya secepat mungkin kerana impaknya nanti adalah kepada moral serta motivasi pemain.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.