“Tunggakan gaji negara lain mungkin lagi teruk tapi tak dedah kepada umum”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

FIFA baru-baru ini mengeluarkan statistik berhubung masalah tunggakan gaji yang mana menyaksikan Malaysia merupakan ‘juara’ bagi peringkat Asia, dan kedua tertinggi di dunia – situasi yang sangatlah memalukan dan mencemarkan maruah Liga Malaysia.

Seiring pendedahan itu juga, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam memaklumkan FIFA telah meluluskan 147 permohonan bekas pemain dari Malaysia yang berdepan tunggakan gaji dengan pasukan yang sudah ditutup untuk menerima geran menerusi program ‘FIFA Fund for Football Players’ atau lebih dikenali sebagai FIFA FFP.

FIFA FFP diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama FIFA dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro), dan 147 permohonan yang diluluskan untuk Malaysia adalah fasa pertama membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Dato’ Abdul Ghani Hassan berpendapat ia tidak membawa maksud bahawa Liga Malaysia adalah teruk sebaliknya membuktikan ketelusan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk menyelesaikan perkara itu.

“Malaysia mencatatkan kes tinggi kerana kita mengambil inisiatif melaporkan masalah berkenaan bukan sahaja kepada umum tetapi untuk diselesaikan sehingga ke FIFA, kita juga mendedahkan tindakan tegas yang diambil terhadap kelab berkenaan (yang ada masalah tunggakan gaji).

“Kemungkinan negara lain juga berlaku tunggakan gaji, namun mereka mengambil pendirian tidak melaporkannya atau membentangkan kepada umum.

“Jadi kes tinggi itu bukanlah menggambarkan Liga Malaysia teruk atau parah berkaitan soal pembayaran gaji namun lebih kepada yang dilaporkan kepada FIFA sahaja,” kata Abd Ghani kepada BH Sukan.

Sebagai rekod dalam tempoh 2015 – 2020, beberapa kelab yang beraksi di Liga Malaysia berdepan masalah kewangan kritikal membawa kepada tunggakan gaji, dan ada di antaranya telahpun ditutup.

Antara kelab bermasalah yang ditutup dalam tempoh tersebut adalah Kuantan FA, Marcerra United, Terengganu City FC, Hanelang FC, Perlis dan Felda United.

Kelantan FC pada satu ketika berdepan kemungkinan terpaksa ditutup disebabkan masalah sama, namun diselamatkan oleh pakar pelaburan yang juga ahli perniagaan, Norizam Tukiman.

Manakala pasukan yang kekal beroperasi tetapi sering dihimpit masalah tunggakan gaji pula adalah seperti Melaka United dan Perak FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.