Presiden Malaysian Football League (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berpendapat kejayaan mengurangkan masalah tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia adalah bukti keberkesanan penswastaan pasukan yang dilaksanakan badan itu bersama-sama Persatuan Bolasepak Malaysia.
Menurutnya, melalui langkah penswastaan, kelab mula berbelanja secara berhemah bagi mengelakkan berlaku bebanan kewangan yang membawa kepada masalah tunggakan gaji.
Beliau berkata, walaupun masalah tunggakan gaji masih berlaku dalam Liga Malaysia, tetapi ia tidaklah seteruk tahun-tahun terdahulu di mana daripada jumlah RM20 juta kini ia sudah dikurangkan kepada RM4 juta sahaja.
“Masalah gaji ini memang ada tapi tak semua pasukan, hanya dua pasukan saja yang ada masalah.
“Oleh sebab itu, kita di peringkat perlesenan sendiri menekankan dengan begitu teliti yang mana kita akan memeriksa setiap minggu tentang status kelab-kelab ini.
“Malahan, pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji tidak ‘lari’ sebaliknya hanya lewat membayar daripada tarikh yang sepatutnya. Banyak perubahan yang berlaku sejak FAM dan MFL membuat penstrukturan dari FA kepada FC,” katanya.
Sebagai rekod, Liga Malaysia dan masalah tunggakan gaji sudah seperti isi dengan kukuh, ia menjadi virus ataupun barah yang tidak dapat dibendung, apabila saban tahun kita disajikan dengan masalah itu.
Antara pasukan yang sering berulang cerita tunggakan gaji adalah Melaka United dan Sarawak United, malah ada juga pasukan yang sudahpun tutup kedai.
Pasukan seperti Kelantan dan Perak pula baru sahaja bangkit dan bernafas semula selepas mendapat pemilik baru.