“UAE yang lebih tertekan, panik melihat kualiti Harimau Malaya”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Harimau Malaya mempunyai peluang untuk melakar kejutan ke atas Emiriah Arab Bersatu dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 3 Jun depan, jika mengulangi aksi bertenaga ditunjukkan ketika pertembungan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil dua tahun lalu.

Demikian pendapat pemain tengah Brendan Gan sambil menekankan bahawa Malaysia tidak seharusnya gentar dengan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan.

Malah menurutnya ketika ini tekanan lebih tinggi di kem UAE untuk mendapatkan keputusan positif dalam baki empat perlawanan selepas tampil hambar tewas dua perlawanan terakhir menentang Thailand dan Vietnam.

“Pada aksi terakhir, kami mendominasi dan kami agresif mengasak mereka. Tetapi saya fikir kami tiada tekanan dan UAE yang merasai lebih tekanan di mana sebelum ini, mereka memecat beberapa jurulatih dan memanggil kembali jurulatih selain menggunakan pemain naturalisasi.

“Mereka yang panik ketika ini kerana melihat kualiti kita. Saya percaya pada kemampuan pasukan ini dan kalau kita sentiasa bersatu dan fokus untuk lakukan apa yang sepatutnya kita lakukan, kita boleh tewaskan mana-mana pasukan,” kata Brendan Gan ketika sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

Sebagai rekod, ketika kedua-dua pasukan bertemu pada September 2019, skuad negara tewas 1-2 meskipun berjaya mendahului seawal minit pertama menerusi jaringan Syafiq Ahmad.

Namun skuad Harimau Malaya mempunyai pengalaman pahit menentang UAE di laman mereka, apabila tewas besar 10-0 dalam kelayakan Piala Dunia 2018 pada September 2015, kekalahan terburuk dalam sejarah bolasepak tanah air yang membawa kepada peletakan jawatan Dollah Salleh.

Sementara itu, Brendan Gan yang tidak dapat diturunkan dalam aksi menentang UAE kerana menjalani penggantungan yakin siapa pun yang diturunkan akan dapat menggalas tanggungjawab dengan baik.

“Saya kecewa kerana tidak dapat bermain tetapi kita ada pemain yang hebat. Walaupun tanpa saya, kualiti pasukan tidak akan jatuh. Jadi, saya akan memberi sokongan kepada pemain dari segi komunikasi dan kepemimpinan yang saya ada dalam skuad.

“Saya akan membantu sedaya upaya ketika sesi latihan dan memberikan sokongan yang diperlukan oleh pemain. Selepas aksi UAE, kita akan teruskan persiapan bagi dua lagi aksi dan ketika itu, saya akan memberikan 100 peratus untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” tambahnya.

Selepas menentang UAE, skuad negara akan menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.