Uitm FC Akhirnya Menang Selepas 17 Perlawanan Liga Super

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penantian panjang Uitm FC untuk merasai nikmat kemenangan berakhir apabila mereka menewaskan Perak FC 2-0 dalam aksi ke-17 Liga Super di Stadium Uitm, Shah Alam pada Sabtu.

Skuad kendalian Reduan Abdullah menghuni tangga tercorot setelah hanya mampu seri dua kali dan tewas 14 kali dalam 16 perlawanan yang telah diharungi sekaligus memegang rekod sebagai pasukan dengan kemarau kemenangan paling panjang dalam sejarah Liga Super.

Perak FC yang berada hanya satu tangga di atas mereka menjadi mangsa pertama Uitm FC musim ini, terima kasih kepada jaringan Sean Gianelli pada minit ke-29 dan Shafiq Al Hafiz Dawawi pada minit ke-75.

Walaupun berjaya meraih tiga mata, ia sesuatu yang mustahil untuk Uitm FC menyelamatkan diri dari tersingkir ke Liga Premier.

Dalam satu lagi aksi, Penang FC melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Melaka United di Stadium Bandaraya menerusi tendangan voli cantik Sheriddin Boboev yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada masa kecederaan.

Penang FC kendalian Thomas Trucha berada di depan menerusi jaringan sepakan penalti Rafael Vitor pada minit ke-75 dan Melaka United menyangkakan mereka sudah berjaya mencuri satu mata apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90 menerusi Giovane Gomes.

Namun tendangan Boboev yang juga sepakan terakhir pada perlawanan itu, menghadiahkan tiga mata buat Penang FC.

Sementara itu, Terengganu FC pula mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua setelah menewaskan seteru pantai timur, Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kedua-dua gol buat skuad Nafuzi Zain dijaringkan pada separuh masa pertama oleh David Da Silva pada minit ke-12 dan Faisal Halim pada minit ke-24.

Ini merupakan kekalahan pertama buat skuad kendalian Dollah Salleh selepas tujuh perlawanan.

Aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pula menyaksikan KL City melakar kemenangan 1-0 ke atas PJ City FC menerusi jaringan tunggal Paolo Josue pada minit ke-31.

Ia kemenangan pertama skuad Bojan Hodak selepas enam perlawanan manakala bagi PJ City, ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut setelah terdahulu tewas kepada Sri Pahang dan Terengganu FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.