Uitm FC Hampir Hadiahkan Kemaluan Terbesar Buat Kedah Musim Ini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kedah Darul Aman FC memastikan hajat besar untuk merebut kedudukan naib juara Liga Super 2021 terus bernyala apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengelak kekalahan memalukan di tangan Uitm FC.

Meskipun sudah sah tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan, jelas ia tidak membunuh motivasi para pemain Uitm FC yang tampil dengan permainan bertenaga untuk mencatat keputusan seri 3-3 di Stadium Darul Aman.

Kedah bimbingan Aidil Sharin Sahak yang gagal melakar kemenangan dalam dua perlawanan terdahulu turun dengan misi wajib menang untuk merampas semula kedudukan kedua dari Penang FC.

Jaringan kapten pasukan Baddrol Bakhtiar meletakkan Kedah 1-0 di depan pada minit ke-37 namun kelebihan itu hanya bertahan tiga minit sahaja Uitm FC menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Dennis Buschening.

Uitm FC bimbingan Reduan Abdullah kemudiannya mendahului 2-1 pada minit ke-48 menerusi tolakan mudah Kwon Yong Hyun berikutan kecuaian pertahanan Lang Merah.

Skuad the lion troops kemudiannya terus mengukuhkan kedudukan apabila backheel dilakukan Arif Ar Rashid susulan situasi kelam kabut di depan gawang Kedah, gagal diselamatkan oleh Shahril Shaari pada minit ke-64.

Kelebihan dua gol itu bagaimanapun gagal dipertahankan oleh Uitm FC apabila mereka membenarkan tuan rumah untuk bangkit menerusi dua gol pantas bermula dengan jaringan Fikhri Zulkifli.

Fikhri hanya memerlukan seminit sahaja selepas masuk menggantikan Syazwan Zainon pada minit ke-73 untuk membawa impak apabila tandukannya gagal diselamatkan Zamir Selamat.

Lima minit kemudian, Kipre Tchetche menyambut hantaran rakan sepasukan dan tidak bermasalah menewaskan Zamir di gawang untuk mengikat kedudukan 3-3. Ia adalah gol kelapan peribadinya musim ini.

Satu mata yang diraih menyaksikan Kedah kembali ke kedudukan kedua dengan 40 mata, hanya dipisahkan menerusi beza jaringan dengan Penang FC, dan berkelebihan tiga mata ke atas Terengganu FC.

Manakala Uitm Fc pula kekal di tangga tercorot dengan 10 mata.

Pada aksi terakhir nanti, Kedah memiliki sedikit kelebihan kerana akan berentap dengan Melaka United di Alor Star manakala Penang FC pula akan bertemu Terengganu FC di Stadium Bandaraya.

Pasukan yang muncul naib juara Liga Super akan menyambar tiket beraksi di Piala AFC 2022.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.