“Uitm FC tidak akan tersingkir”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di sebalik kedudukan Uitm FC di tangga tercorot Liga Super dengan hanya dua mata, malah hanya sembilan perlawanan sahaja berbaki untuk musim berakhir, ia belum cukup untuk membunuh keyakinan pemain-pemain pasukan itu bahawa mereka masih boleh terselamat dari penyingkiran.

Mereka kini 10 mata dipisahkan dari zon selamat, namun pemain import Ousmane Fane berkata, dia percaya Uitm FC bimbingan Frank Bernhardt akan tampil lebih kuat apabila Liga Super kembali bersambung pada Julai.

“Aksi terakhir (menentang KL City) menampakkan peningkatan. Pasukan ini telah membawa masuk pemain-pemain berkualiti dan ini memberi keyakinan kami akan kembali sebagai sebuah pasukan lebih baik.

“Setiap pemain dalam pasukan ini seperti adik-beradik saya. Apabila adik beradik ada masalah, kami cari solusi. Keyakinan kami belum pudar kami boleh terselamat dari tersingkir walaupun menduduki tangga tercorot.

“Kami mahu kekal di Liga Super dan bermotivasi mahu melakukan sesuatu,” ujar Ousmane Fane yang kembali menyarung jersi Uitm FC musim ini di jendela perpindahan kedua.

Begitu juga pendapat disuarakan Sean Gan Gianelli, pemain pinjaman dari Kuala Lumpur City.

Bukan sahaja meletak sasaran mahu selamatkan Uitm FC dari tersingkir, tetapi dia juga berharap dapat memulihkan semula kariernya selepas tidak mendapat peluang beraksi bersama KL City.

“Saya percaya peluang untuk kerap beraksi lebih cerah sekiranya saya bermain dengan UiTM FC dan dengan baki saingan liga sekarang ini, saya tidak mahu terlepas peluang ini.

“Saya ada mendapat beberapa tawaran juga daripada pasukan Liga Premier, tetapi saya merasakan UiTM FC lebih sesuai untuk saya cuba sinar baharu bantu mereka pada musim ini.

“Saya rasa UiTM FC perlukan sesuatu yang lebih segar dan baharu untuk mereka memulakan kembali baki perlawanan selepas ini, dan saya percaya dengan kehadiran saya, penjaga gol, Zamir Selamat dan juga import baharu mereka dapat menyumbang sesuatu.

“Saya tidak terlalu memikirkan untuk menjaringkan gol atau mengira berapa banyak saya dapat melakukan hantaran, tetapi saya lebih ingin fokus untuk membina balik keyakinan diri dan juga memperbaiki tahap kecergasan.

“Memang musim ini sangat penting untuk saya kerana kontrak saya hanya setahun dengan Kuala Lumpur, dan saya akan buktikan bahawa saya ada sesuatu untuk diberikan buat pasukan”, tambahnya.

Sementara itu, bekas tonggak Negeri Sembilan, Alif Shamsudin yang menjadi antara rekrut terbaru pasukan the lion troops berharap pengalaman 12 tahunnya di Liga Malaysia dapat membantu mereka menghidupkan kembali misi kekal dalam pentas Liga Super.

Jelas pemain berusia 32 tahun berkenaan, dia tidak melihat banyak kelemahan ketara dimiliki UiTM kecuali aspek pengalaman pemain muda tempatan menjadi sedikit tembok pemisah untuk bersaing dengan pasukan-pasukan ternama.

Perkara itu diperhatikan semasa dia sendiri turun beraksi membantu UiTM meraih keputusan seri 1-1 bertemu Kuala Lumpur City di Stadium UiTM, 8 Mei lalu yang menyaksikan banyak perubahan ketara pada skuad kendalian Frank Bernhardt.

“Saya dipanggil di sini oleh staf kejurulatihan untuk membantu pemain-pemain muda setelah mereka melihat beberapa kelemahan ketara terutama di bahagian tengah.

“Sebenarnya pemain-pemain muda dalam pasukan ini semuanya tiada masalah cuma apa yang saya dapati mereka tiada pembimbing yang boleh beri arahan di atas padang.

“Salah satu contoh ialah kedudukan posisi mereka semasa di atas padang, di mana tempat yang sesuai untuk pemain tempatkan diri mereka bagi menutup ruang pihak lawan bagi lakukan hantaran.

“Aspek ini yang diharapkan oleh pihak kejurulatihan dan buat masa ini selepas perlawanan bertemu dengan Kuala Lumpur tempoh hari, nampak ada sedikit perubahan yang saya boleh lakukan di sini bagi membantu pasukan,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.