Ultras KL Bidas Annuar Musa – Ingat Kami Tiada Tangan Nak Ketuk Rebana Ubi?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tindakan penasihat pasukan KL City, Tan Sri Annuar Musa ‘mengimport’ penyokong Kelantan untuk memukul gendang dan memberikan sokongan kepada pasukan itu dalam aksi final Piala Malaysia 2021 pada Selasa, nampaknya kurang disenangi.

KL City akan bertemu JDT dalam aksi berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di hadapan kira-kira 20,000 penyokong kedua-dua pasukan dengan skuad warga kota turut menerima ‘pinjaman’ suara dari penyokong Kelantan atas jemputan Tan Sri Annuar Musa.

Berita Berkaitan : Annuar Musa Import Sep Gendang Kelate Beri Sokongan Kepada KL City

Kumpulan Ultras Kuala Lumpur menyelar tindakan Annuar Musa dan menganggap ia sebagai mempunyai agenda ataupun matlamat peribadi yang menjadi budaya ahli politik.

“Kami secara lantangnya tidak memerlukan penyokong import untuk memeriahkan Stadium Nasional bagi pihak Kuala Lumpur. Cukup sekadar apa yang ada walaupun jumlahnya 17 orang. Kami sering dijadikan bahan ketawa, tapi itu semua tak menjadi masalah untuk kami. Yang pasti kami perlukan JIWA untuk menyokong pasukan kami.

“Kalau Penasihat terlampau mahukan kemeriahan di perlawanan akhir, mungkin boleh menggunakan mana-mana organisasi yang berada di Kuala Lumpur. Bukan mengambil dari negeri lain. Ingat orang KL tak ada tangan ke nak ketuk rebana ubi tu?

“Kalau nak meramaikan, boleh jer panggil budak-budak sekolah sukan yang ada dekat KL ni, bagi tiket free, terpampang kan muka anda di atas tiket itu, takda hal. Janji ada kena mengena dengan KL, apa kena mengena orang negeri lain duk pukul gendang dekat KL ni,” menurut kenyataan Ultras KL yang viral di media sosial.

Bagi kami di Labola Malaya, apa salahnya jika penyokong dari negeri lain turut sama mahu memeriahkan aksi final, hadir memberikan sokongan.

Benar ianya seperti mencabar maruah apabila penyokong pasukan lain pula datang bergendang, bersorak, memberi sokongan macamlah pasukan sendiri tak ada penyokong. Malah jiwa KL tidak sama dengan jiwa negeri lain.

Tetapi, perlawanan akhir akan disaksikan penyokong bolasepak di seluruh negara, malah KL City sendiri tidak rugi jika mendapat sokongan daripada penyokong luar bukan sahaja Kelantan, tetapi dari seluruh negara.

Kenapa perlu bersengketa dengan mewujudkan sentimen kenegerian. Bolasepak adalah elemen penyatuan, yang sewajarnya bebas daripada sebarang sentimen politik, perkauman, mahupun kenegerian.

Kenapa hendak tanamkan perasaan benci sedangkan inilah peluang untuk terjalinnya keakraban sesama penyokong.

Semoga yang bermusuh pada aksi final nanti hanyalah pasukan KL City dan JDT, itupun sepanjang 90 minit atas padang sahaja, kita yang berada di luar jadilah penyokong yang bijak, profesional dan bertamadun, menghormati satu sama lain.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.