UMNO Mahu Kerajaan Tetap Beri SHAKAM Kepada Ziyad Zolkefli

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

UMNO berharap jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, tetap diberikan ganjaran di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) meskipun pingat emas dimenanginya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Selasa lalu telah ditarik balik.

Ketua Penegangan UMNO, Shahril Hamdan berkata Ziyad Zolkefli telah membuktikan dirinya sebagai atlet luar biasa apabila memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali untuk meraih emas, meskipun ia kemudiannya tidak diiktiraf atas sebab teknikal.

“Beliau (Ziyad) memecahkan bukan sahaja rekod dunia paralimpik, tetapi rekod kebangsaan untuk atlet biasa dan atlet para yang cukup luar biasa.

“Saya berharap kerajaan tetap mengiktiraf pencapaian Ziyad dengan memberikan insentif SHAKAM seperti diperuntukkan kepada atlet yang mengharumkan negara di persada dunia.

“Ziyad adalah pemenang pingat emas bagi Malaysia. Kita perlu memberi penghargaan kepada Ziyad sebagai tanda sokongan terhadap pengorbanan beliau sekian lama demi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebagai rekod, pemenang emas paralimpik akan menerima RM1 juta di bawah SHAKAM selain pencen tetap sebanyak RM5,000 sebulan.

Kemenangan Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 di Paralimpik Tokyo dibatalkan berikutan dia termasuk dua lagi atlet iaitu Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki call-room sebelum pertandingan dimulakan.

Berdasarkan semakan di laman Paralimpik Tokyo, ketiga tiga atlet terbabit mendapat status ‘DNS’ sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi sekali pun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali, dengan lontaran sejauh 17.62 dan 17.94 meter.

Rayuan dikemukakan Malaysia, Ecuador dan Australia bagi mengenepikan protes oleh kem Ukraine bagaimanapun ditolak juri badan induk sukan itu.

Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) turut senada apabila menyatakan harapan kerajaan akan tetap memberi insentif kepada Ziyad Zolkefli.

Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, pihaknya turut melancarkan ‘Tabung Kemenangan’ sebagai insentif kepada kejayaannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank bernombor 5640 2540 3782 (Tabung Kemanusiaan Majlis Belia Malaysia) dengan rujukan ‘WIRA ZIYAD’.

“MBM bersama seluruh rakyat Keluarga Malaysia amat menghargai penat lelah dan usaha yang ditunjukkan oleh Muhammad Ziyad dan rakan-rakannya,” katanya.

Beliau juga menyelar kem Ukraine sebagai mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

“Tidak dinafikan peraturan dan perundangan sukan membenarkan mana-mana atlet melakukan protes tetapi di tahap tertinggi seperti paralimipik, elemen sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana ia melambangkan betapa rendahnya semangat kesukanan yang ada pada diri anda,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.