Umpama Bunuh Diri Kalau Main Menyerang Lawan JDT, Tegas Sathianathan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sarawak United kecundang 0-3 kepada Johor Darul Takzim dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu, dan jurulatihnya B.Sathianathan mengakui sudah menduga akan kekalahan tersebut.

“Ya saya sudahpun jangka keputusan ini, saya bukan jurulatih yang suka cakap kita boleh buat itu ini boleh buat kejutan bila lawan pasukan kuat seperti JDT. Mereka pasukan yang beraksi di ACL dan ada menewaskan pasukan gergasi Asia, jadi apa yang boleh saya harapkan?

“Sejujurnya menentang JDT memberi kita banyak pengajaran, tentang bagaimana memegang bola, mengawal permainan, positioning dan sebagainya. Ini adalah kualiti yang saya mahukan dan saya harap di masa depan Sarawak akan ada kualiti seperti ini.

“Tetapi pemain-pemain saya sebenarnya telah mencuba, cuba menghadang Forestieri namun ia bukan mudah. Kita cuba bangkit di separuh masa kedua dan mempunyai dua peluang. Ada orang tanya kenapa saya tak main menyerang, main menyerang lawan JDT umpama nak bunuh diri. Orang yang tak faham bolasepak memang boleh bagi macam-macam cadangan atau pandangan.

“Tiga gol di separuh masa pertama itu telah membunuh motivasi pemain, JDT guna sebaiknya peluang yang mereka dapat. Saya pun tak boleh minta lebih, cuma kita boleh menjadi lebih baik ketika melakukan hantaran,” kata Sathianathan.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, JDT menjaringkan gol seawal minit keenam menerusi sepakan percuma Nazmi Faiz Mansor yang gagal diselamatkan penjaga gol Sarawak United, Taufiq Ar Rasyid.

Fernando Forestieri menggandakan kelebihan 10 minit kemudian apabila merembat masuk bola percubaan Bergson da Silva yang gagal ditangkap kemas Taufiq, sebelum pemain itu menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-42 setelah menyempurnakan hantaran Corbin Ong.

Dalam pada itu, ini pula komen Benjamin Mora yang merendah diri mengatakan ia bukan satu kemenangan mudah walaupun menang selesa.

“Mungkin nampak mudah untuk menang tapi hakikatnya ia sukar kerana apa yang menyukarkan adalah bagi memastikan corak permainan dan taktikal tersusun dan juga pastikan pemain sentiasa beraksi konsisten sepanjang 90 minit tanpa melakukan kesilapan.

“Kami menghormati Sarawak United tapi kami harus mengambil kesempatan daripada momentum permainan yang konsisten untuk mencapai kemenangan dan ia dilakukan dengan baik bagi memastikan kami layak ke suku akhir.

“Pada aksi itu, kami ubah taktikal permainan sebanyak tiga kali bagi mengelirukan pasukan lawan malah kami beri peluang untuk pemain yang kurang minit permainan seperti Aidil Zafuan (Abd Radzak), Daniel Amir, Safawi (Rasid) dan Ramadhan (Saifullah) kerana mereka penting dalam skuad JDT.

“Beberapa tonggak utama seperti Shane (Lowry), Leandro (Velazquez) dan Natxo (Insa) tidak dapat diturunkan kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kelibat pemain yang diturunkan beri lebih keyakinan kepada mereka untuk beraksi dalam saingan liga,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.