“Untunglah Feichtenbeiner Dapat Melancong dan Dibayar Gaji Walaupun Gagal”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Azlan Johar hairan bagaimana Michael Feichtenbeiner yang gagal sebagai ketua jurulatih Selangor FC boleh kembali mengisi kerusi Pengarah Sukan kelab itu.

Selangor FC pada Selasa lalu mengumumkan telah mencapai persetujuan dengan Feichtenbeiner untuk dia melepaskan jawatan yang digalas selama setengah musim bagi memberi fokus kepada projek pembangunan bolasepak Selangor sebagai Pengarah Sukan yang disandangnya sejak 2020.

Azlan dalam laporan disiarkan BHSukan menyifatkan langkah itu sebagai pelik memandangkan Feichtenbeiner bukan sahaja gagal membawa perubahan kepada prestasi Selangor FC, malah tiada membuktikan apa-apa sepanjang menjawat posisi Pengarah Sukan sebelum ini.

Malah dia juga tidak bersetuju jika Selangor FC mahu mengatakan pemain-pemain muda di dalam kelab itu yang mewakili feeder team serta skuad B-19 dan B-23 datangnya menerusi sentuhan jurulatih dari Jerman itu.

“Jadi jurulatih pun tidak bawa kemajuan pada Selangor, bagaimana pula dia boleh kembali sebagai pengarah sukan? Adakah pelantikan ini semata-mata untuk memenuhi syarat ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)?

“Sudah bertahun juga dia menjadi pengarah sukan tetapi apa yang dia buat untuk SFC? Nak katakan air tangannya membawa naik ramai pemain muda pun susah juga kerana adakah dia yang meninjau pemain ini dari seluruh Selangor? (Pemain muda) daripada sentuhan jurulatih tempatan juga.

“Mungkin dia pun ada modul yang cuba diperkenalkan kepada SFC tetapi nampaknya modul itu tak berhasil. Beruntunglah Micheal dapat melancong dan dapat gaji selama empat tahun berada di Malaysia.

“Bagi jawatan pengarah sukan ini, lebih baiklah kita beri pada anak tempatan sahaja. Adakah mereka (jurulatih luar) ini benar-benar bekerja kuat untuk kemajuan bola sepak kita?

“Kerusi selaku pengarah sukan perlu diisi bukan setakat oleh individu yang sangat mahir dalam bola sepak tetapi juga berkebolehan untuk mewujudkan satu suasana kemajuan bola sepak untuk pasukan.

“Sebagai anak jati Selangor yang bermain dengan Selangor dan jurulatih yang mendapat didikan daripada Selangor, pada saya menjadi tanda tanya apabila perkara seperti ini berlaku. Ini satu perkara yang harus kita fikirkan,” ujar Azlan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.