Bekas penyerang Perak dan kebangsaan, V.Saravanan meletakkan harapan tinggi bolasepak Perak akan kembali bergemerlapan selepas melalui fasa terburuk dalam sejarah 100 tahun mereka pada 2021.
Skuad The Bos Gaurus bergolak dengan krisis tunggakan gaji menyebabkan mereka tersingkir buat kali pertama daripada saingan Liga Super dan ia jelas mengecewakan V.Saravanan yang kini menabur bakti sebagai jurulatih pasukan pembangunan di Finland.
Teruja dengan pengambilalihan oleh pemilik baru Impact Media & Communication (IMC), V.Saravanan yang digelar ‘the flying silverman’ oleh penyokong Perak tidak sabar menantikan pembaharuan yang akan dibawa sambil menegaskan bolasepak akan maju jika diuruskan oleh mereka yang faham bolasepak.
“Saya harap tahun baru nie bagi semangat baru kepada pemilik baru Perak kita, cuma kita beri sedikit peringatan, kalau nak buat pembaharuan, kita kena ada perancangan, serta (pengurusan) yang mempunyai misi dan visi.
“Kita kena FOCUS kepada akar umbi, pasukan akademi dari umur 12 – 18 tahun, kita kena lantik staff kejurulatihan yang berkualiti dan ada semangat nak majukan pasukan perak kita.
“MAJIKAN pulak kena jaga kebajikan pemain dan staff kejurulatihan, manakala fasiliti seperti padang latihan adalah keutamaan.
“Akhir sekali, untuk skuad utama Perak, kena cari pemain import yang berkualiti dan pemain (tempatan) Perak kena tunjuk kesungguhan, disiplin, main untuk logo (lencana). Pemain kita kena banyak berkorban untuk pasukan kesayangan kita.
“Akhir kata, saya cukup teruja menantikan musim baru, pasukan baru. Sentiasa bekerja keras dan bermainlah dengan penuh semangat dan penuh integriti. Saya tahu anda boleh lakukan yang terbaik,” ujarnya.
Hakikatnya apa yang diperkatakan oleh V.Saravanan – bolasepak perlu diuruskan oleh orang yang faham bolasepak – bukan sahaja perlu dihadam oleh pengurusan baru Perak FC, tetapi oleh pengurusan semua pasukan di Liga Malaysia termasuklah badan induk bolasepak tanah air.
Tidak banyak kelab di Malaysia yang mana pengurusan mereka dibarisi orang bola, rata-ratanya masih memberi kepercayaan kepada mereka yang datangnya dari luar lapangan misalnya ahli politik ataupun individu dari kerajaan negeri atas kepentingan tertentu.