V.Saravanan semakin hampir dapat Lesen ‘A’ UEFA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang Perak, V.Saravanan nampaknya terus mengorak langkah di perantauan, khabar terbaru dia kini semakin hampir untuk mengenggam Lesen Kejurulatihan ‘A’ UEFA.

Saravanan yang menetap di Finland sejak tujuh tahun lalu, berkata dia sepatutnya sudahpun memiliki Lesen ‘A’ UEFA itu tahun ini namun terpaksa menunggu lebih lama memandangkan sesi praktikal telah ditangguhkan disebabkan penularan wabak Covid-19.

“Untuk proses pembelajaran dan teori, ianya dibuat secara online jadi tiada isu di situ. Malah, saya juga sedang mendalami lebih ilmu untuk meluaskan lagi pengetahuan dalam bolasepak, khususnya di Eropah.

“Hanya praktikal ditangguhkan, saya faham ia demi keselamatan disebabkan situasi semasa dan tidak kisah menunggu sedikit masa lagi,” ujar Saravanan yang membimbing pasukan pembangunan bawah 12 tahun HJK Helsinki, dipetik daripada The Star Online.

Sebagai makluman, Lesen ‘A’ UEFA hanyalah satu tahap di bawah Lesen Pro UEFA dan ia membolehkan pemegangnya untuk menjadi ketua jurulatih skuad remaja sehingga usia 18 tahun; pasukan simpanan kepada kelab-kelab liga utama Eropah dan juga mana-mana pasukan professional yang bermain di liga divisyen kedua.

Sementara itu, mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di Finland, Saravanan yang dua kali menjulang Piala Malaysia pada 1998 dan 2000 ketika bersama Perak berkata, “Kami dibenarkan untuk keluar, tetapi wajib mengamalkan penjarakan sosial yang cukup ketat. Buat masa ini, sekolah dan kelab bolasepak semuanya ditutup, jadi kebanyakan masa kami hanya di rumah.

“Ketika ini saya menikmati masa yang ada bersama anak dan isteri, saya juga melakukan ‘work-out’ bersama anak dan bermain game dengannya. Ia sesuatu yang bagus tetapi saya berharap semuanya akan segera pulih kepada normal, saya sudah tidak sabar untuk kembali melatih. Buat masa ini saya memantau perkembangan mereka melalui video yang dihantar,” ujar Saravanan lagi.

Sebagai rekod, Saravanan juga pernah menyarung jersi Pahang dan PKNS FC, selain mewakili pasukan kebangsaan selama beberapa tahun. Dia menoktahkan karier sebagai pemain pada 2012 pada usia hanya 33 tahun.

Foto ehsan : TheStarOnline

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.