Verdon kesal sikap tidak profesional Rozaimi, anggap dia tak sesuai main dengan Sabah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Dato’ Verdon Bahanda kecewa dengan sikap serta professionalisme Rozaimi Abdul Rahman, dan menganggap pemain itu tidak sesuai untuk bermain dengan pasukan itu.

Baru-baru ini, Rozaimi menyatakan dia bimbang dengan masa depannya kerana Sabah FC membisu dan tidak bercakap apa-apa mengenai kontrak tatkala dia sudahpun berhabis wang ringgit kira-kira RM14,000 untuk membawa balik barangnya ke negeri kelahirannya itu, justeru menganggap dirinya kena scam (tertipu).

Ia jelas menimbulkan kemarahan Verdon Bahanda, yang berpendapat ia satu tuduhan yang tidak adil daripada pemain itu sehingga pengurusan Sabah FC menjadi sasaran kecaman.

“Lebih kurang dua minggu lalu, beliau (Rozaimi) menghubungi saya menyatakan kesediaan berkhidmat dengan Sabah. Saya cukup teruja seorang bintang berasal dari Sabah yang sudah begitu lama berkhidmat dengan pasukan luar akhirnya ingin kembali dan menyarung jersi Sabah.

“Beliau cakap pada 27 November akan kembali ke Sabah, jadi saya cakap, saya orang pertama ingin jumpa dengan beliau. Pada sebelah paginya saya telah bertemu dengan seorang lagi pemain iaitu Bobby Gonzales yang turut menyatakan hasrat untuk kembali dan pada sebelah petang telah bertemu dengan Rozaimi di Pejabat SAFA.

“Pada pertemuan itu, perkara pertama saya cakap kepada Rozaimi adalah saya teruja untuk mendapatkan khidmat beliau, walau bagaimanapun kita mempunyai kekangan untuk menandatangani kontrak pada ketika itu, disebabkan saya masih dalam penyusunan, masih dalam proses menyusun semula pengurusan dan jurulatih Sabah FC.

“Perkara kedua saya katakan kita masih belum tahu bila boleh memulakan latihan kerana bergantung kepada arahan kerajaan untuk memberikan kita lampu hijau. Itu sebab saya kata kepada beliau kita perlu masa sekurang-kurangnya dua minggu, iaitu dalam pertengahan Disember untuk berikan keputusan menandatangani setiap pemain yang ada, itupun selepas meneliti setiap aspek seperti kecergasan dan keadaan kecederaan semua pemain.

“Dalam perbincangan tersebut, tak ada satu perkataan pun daripada saudara Rozaimi bahawa beliau perlu atau mahu menandatangani kontrak secepat mungkin. Beliau mendiamkan diri di hadapan semua orang yang ada dalam pejabat, malah saya kata kepada beliau jika perlu apa-apa datang jumpa dan bincang dengan saya secara peribadi.

“Apa yang berlaku selepas itu, pada 29 November, Rozaimi telah berjumpa dengan pengurus pasukan (Jelius Ating). Ketika itu juga, tiada permintaan daripada Rozaimi mahu menandatangani kontrak. Beliau hanya mendiamkan diri.

“Tetapi pada malam itu juga, saya dikejutkan apabila beberapa kawan menghantar video live facebook Rozaimi, di mana dia mengatakan ‘siapa cepat dia dapat, saya tidak diberikan kontrak’. Sepatutnya dia terangkan apa yang berlaku, dan ini tidak adil kepada diri saya, dan juga pengurusan Sabah FC sekiranya terus dipersalahkan penyokong di luar sana. Kita sudah ada persetujuan.

“Lagipun, untuk kembali ke Sabah ini, adalah kehendak beliau. Saya tidak pernah menjemput beliau, saya cuma cakap kalau mahu kembali, pintu terbuka luas. Ini yang berlaku tetapi saudara Rozaimi telah menuduh Sabah FC sebagai menipu.

“Kita tidak pernah menipu dan telah memberi satu peluang kepada Rozaimi untuk berkhidmat, malangnya dengan sikap begitu, saya rasa beliau tidak sesuai berada dalam pasukan Sabah FC pada musim hadapan.

“Satu perkara yang harus dielakkan, perkara bodoh yang dibuat oleh pemain professional adalah mengeluarkan kenyataan di media sosial tanpa berunding dengan pihak sepatutnya, ini perkara langsung tidak boleh berlaku. Saya cukup rasa kesal sekiranya perkara yang dia lakukan akan menjadi ikutan pemain lain, ia akan menghancurkan pasukan Sabah pada masa akan datang.

“Sepatutnya tunjukkan sikap yang baik kepada junior. Ini bukan pasal gaji, kalau pasal gaji kita boleh runding, tapi sikap profesionalisma, atitud, ini perkara paling asas saya harapkan dari pemain senior berstatus bintang supaya mereka sentiasa berikan tunjuk ajar tetapi sebaliknya, ini memberi tekanan kepada kelab.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.