(Video) JDT sahkan kejuaraan ketujuh dengan membelasah Sabah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim sah muncul juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas membelasah Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada Jumaat.

Kemenangan keenam berturut-turut itu menyaksikan skuad Benjamin Mora mengumpul 25 mata dan bergelar juara dengan baki satu perlawanan dalam tangan.

Walaupun hanya memerlukan seri, skuad Harimau Selatan yang turun dengan barisan terkuat mereka jelas tidak ‘memberi muka’ kepada lawan mereka yang terdesak memburu mata bagi menjayakan misi kekal di Liga Super.

Penyerang import Diogo Santo menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-38 untuk JDT mendahului 1-0 di separuh masa pertama.

10 minit bersambung babak kedua, giliran Safawi Rasid pula meledak dan mengukuhkan kedudukan namun Sabah berjaya membalas satu gol menerusi sepakan lencong Dennis Buschening pada minit ke-74 untuk kedudukan 1-2.

Safawi Rasid bagaimanapun mengembalikan kelebihan dua gol untuk tuan rumah pada minit ke-81 sebelum Leandro Velazquez melengkapkan kemenangan bergaya menerusi sepakan percuma cantik dua minit kemudian.

Dengan muncul juara kali ketujuh, JDT juga mengesahkan slot untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia musim depan.

Manakala kekalahan buat Sabah menyaksikan mereka tergelincir ke tangga kesepuluh, dipintas PJ City yang mencatat kemenangan 4-2 ke atas Uitm FC.

Gol buat PJ City bimbingan K.Devan dijaringkan R.Bharathkumar, Anaween Jujeen, R.Kogileswaran dan Washington Brandao sementara Uitm FC pula membalas menerusi Gustavo Almeida – kedua-duanya sepakan penalti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.