Vietnam Lain, Tak Perlu ‘Parking Bas’ Lawan Harimau Malaya – Shin Tae Yong

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika Harimau Malaya beranggapan Indonesia akan bermain dengan corak bertahan apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFF pada Ahad, ia adalah silap besar.

Ini kerana pengendali Indonesia, Shin Tae Yong berkata corak permainan pasukannya dalam satu-satu perlawanan adalah berdasarkan kekuatan pasukan lawan yang akan ditentang.

Justeru menurutnya Indonesia tidak perlu bermain ‘parking bas’ sepertimana dilakukan mereka ketika mengikat juara bertahan Vietnam tanpa jaringan pada aksi terdahulu.

“Sebagai jurulatih memang bertanggungjawab untuk memimpin pasukan dan menyiapkan pasukan sebelum menghadapi lawan, dengan menganalisa kelemahan dan kelebihan pasukan yang akan di tentang.

“Memang Vietnam satu pasukan yang terbaik dan terkuat di Piala AFF ini, oleh kerana itu memang kami tidak memberi fokus kepada penguasaan bola.

“Sebaliknya kami memang mengharapkan seri sahaja untuk layak ke separuh akhir tetapi bertemu Malaysia kami akan menilai setiap kelebihan dan kelemahan mereka juga.

“Jadi kami akan menyediakan strategi dan taktik mengikut kemampuan lawan kami nanti. Saya akan menyediakan pasukan dengan sistem yang sesuai lawan Malaysia,” kata Shin Tae Yong yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan Korea Selatan ketika sidang media.

Indonesia ketika ini memimpin kedudukan Kumpulan B dengan tujuh mata dan memerlukan hanya seri untuk menempah tiket ke separuh akhir, namun berbeza bagi skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang turun dengan misi wajib menang jika tidak mahu balik awal.

Meskipun dua pertemuan terakhir kedua-dua pasukan berpihak kepada Malaysia, pasukan Indonesia di Piala AFF kali ini dilihat jauh berbeza dan lebih garang.

Dalam pada itu, Cheng Hoe dijangka kembali menurunkan Guilherme De Paula dalam kesebelasan utama dan merehatkan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin.

“Kita ada baki 24 jam (semalam) untuk buat pilihan terbaik, siapa kesebelasan utama lawan Indonesia.

“Kita tahu mereka bermain agak baik menentang Vietnam, di mana pertahanan mereka cukup ampuh dan berdisiplin. Kita masih lagi menilai solusi terbaik dan pemain terbaik untuk menggantikan Luqman.

“Kita tahu Luqman antara pemain muda yang meningkat naik dan dia sebahagian daripada pasukan dan kita akan putuskan siapa pemain yang akan main di posisi itu (penyerang),” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.