Vietnam tutup peluang Malaysia ke Piala Dunia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tertutup sudah peluang skuad Harimau Malaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Kekalahan 1-2 kepada Vietnam pada awal pagi Sabtu menyaksikan skuad negara sudah tidak boleh mengejar kedudukan dua teratas Kumpulan G sekaligus turut terlepas peluang layak secara automatik ke Piala Asia 2023.

Kini Harimau Malaya masih ada satu peluang untuk melangkah ke Piala Asia 2023, iaitu melalui pusingan ketiga kelayakan, namun perlu terlebih dahulu menamatkan saingan di kedudukan ketiga kumpulan ataupun muncul empat pasukan tangga keempat terbaik.

Pada perlawanan di Stadium Al-Maktoum yang mana Harimau Malaya membawa misi wajib menang, Tan Cheng Hoe melakukan dua rombakan pada kesebelasan utama yang tewas kepada UAE, iaitu memasukkan Brendan Gan dan Syafiq Ahmad, masing-masing menggantikan Liridon Krasniqi dan Nor Azam Azih.

Namun sekali lagi, skuad negara dilihat tidak dapat menyerlahkan prestasi terbaik apabila membenarkab Vietnam mendominasi permainan. Skuad bimbingan Park Hang Seo membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi tandukan Nguyen Tien Linh berpunca dari situasi sepakan sudut.

Hanya pada 10 minit terakhir separuh masa pertama, Harimau Malaya dilihat sedikit garang dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya, antaranya menerusi tandukan Syafiq Ahmad pada minit ke-38 dan sepakan percuma Safawi Rasid, kedua-duanya diselamatkan  penjaga gol.

Bermula separuh masa kedua, Cheng Hoe mengeluarkan Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid yang ‘hilang’ dalam permainan, dan membawa masuk  Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid.

Tidak banyak perubahan dapat disaksikan, sehinggalah kemasukan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-60 menggantikan Mohamadou Sumareh, barisan depan nampak lebih kreatif mencari peluang masuk ke dalam kotak penalti.

Skuad negara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72, menerusi penalti yang disempurnakan Guilherme De Paula. Penalti dihadiahkan pengadil selepas pertahanan Vietnam mengasari De Paula.

Ketika Harimau Malaya dilihat semakin bersemangat dan mendapat tonik dari jaringan penyamaan itu, pengadil Ryuji Sato menghadiahkan penalti kontroversi kepada Vietnam pada minit ke-82.

Que Ngoc Hai menyempurnakan sepakan untuk Vietnam mendahului 2-1 dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan menyaksikan Vietnam kekal menerajui Kumpulan G dengan 17 mata manakala Malaysia kekal di tangga keempat dengan sembilan mata. UAE yang menewaskan Indonesia 5-0 dalam satu lagi perlawanan berada di tangga kedua.

Vietnam dan UAE akan berentap untuk menentukan juara kumpulan pada aksi terakhir manakala Malaysia wajib menewaskan Thailand, untuk menamatkan aksi kumpulan di tangga ketiga.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.