Vincent Tan akui guna kuasa sebagai pemilik untuk bawa masuk Luqman

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Usahawan terkemuka Tan Sri Vincent Tan mengakui beliau terpaksa menggunakan kuasanya sebagai pemilik pasukan KV Kortrijk untuk mendapatkan tempat buat Luqman Hakim Shamsudin di dalam pasukan itu.

Luqman Hakim sah menjadi milik KV Kortrijk selepas menandatangani kontrak selama lima tahun dalam satu majlis di ibu negara pada Khamis, namun Vincent Tan mendedahkan ia menjadi kenyataan selepas melalui perbincangan yang sukar bersama pihak pengurusan.

Baca : Luqman Hakim dedah cita-cita beraksi dengan Kelantan

“Untuk membawa masuk seorang pemain muda yang tiada langsung pengalaman beraksi dengan mana-mana kelab dengan tawaran kontrak lima tahun, jelas sekali ia tidak disokong pihak pengurusan, mereka tidak bersetuju.

“Tetapi saya bertanyakan kepada mereka kenapa saya sebagai pemilik pasukan tidak boleh membuat keputusan untuk menempatkan seorang pemain dari negara saya di dalam pasukan. Saya mahu memberi seorang warga Malaysia peluang bermain di sana (KV Kortrijk).

“Jadi mereka perlu melatihnya, dan memberikannya peluang. Jika mereka tidak boleh menggunakannya sebagai pemain utama, sekurang-kurangnya beri dia peluang bermain sebagai gantian selama 10-15 minit.

“Kami memberikan peluang kepada Luqman Hakim tetapi jelas sekali ia adalah satu perjudian. Saya bertaruh dia akan berjaya tetapi pasti ada yang akan kata dia masih muda, tidak pandai bercakap inggeris. Tidak mengapa, orang muda akan cepat belajar.

JIKA TIDAK DIBERI PELUANG, BAGAIMANA DIA NAK MEMBUKTIKAN?

“Mereka perlu tahu dia boleh menjaringkan gol dan selepas skor satu atau dua gol, dia akan mendapat keyakinan dan mereka pasti mahu menggunakannya dalam kesebelasan utama. Peluang perlu diberi, tidak boleh cakap ‘tidak boleh’. ‘

“Jika anda tidak memberikannya peluang, bagaimana anda boleh tahu kemampuannya? Sebagai pemilik kelab ini, saya bertegas mahu menandatanganinya dan mereka perlu menandatanganinya, memberikannya peluang,” ujar Vincent pada sidang media.

Ini pula pendapat Luqman Hakim mengenai tanggapan awal KV Kortrijk terhadapnya.

“Cara mereka melihat kita adalah berbeza, sudah tentu ia satu cabaran yang sukar, saya perlu mengatasi kesukaran itu dan membuktikan pandangan mereka itu salah. Peluang tidak hadir dengan mudah, saya perlu mengambil peluang ini dan bermain dengan jiwa saya sendiri, membuktikan kepada mereka pemain Malaysia juga ada bakat.

“Bukan hanya saya seorang, ramai lagi, cuma kita tidak nampak. Jadi dalam hal ini, saya beruntung bakat saya dapat dilihat. Saya berjanji akan mengharumkan nama negara dan tidak akan sesekali memberikan alasan untuk pulang awal,” kata Luqman Hakim.

Kredit foto : TM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.