Voli Syahmi Safari bikin Melaka United berputih mata di laman sendiri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selangor FC bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menewaskan Melaka United 3-2 dalam aksi kesembilan Liga Super di Stadium Hang Jebat pada Ahad, terima kasih kepada jaringan voli rendah Syahmi Safari.

Tuan rumah mendahului 1-0 menerusi jaringan penalti Stefan Nikolic pada masa kecederaan separuh masa pertama, penalti dihadiahkan selepas pemain pertahanan muda Jordan Ayimbila menjatuhkan S.Kumaahran.

Selangor FC bimbingan Karsten Neitzel menyamakan kedudukan enam minit permainan bersambung menerusi Ifedayo Olusegun yang merembat masuk bola hantaran Brendan Gan yang terlebih dahulu ditepis Khairul Fahmi Che Mat.

Melaka United kembali di depan setelah tandukan Syamim Yahya gagal diselamatkan oleh Khairul Azhan Mohd Khalid pada minit ke-58, tetapi Ifedayo Olusegun kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi tandukan 12 minit kemudian.

Syahmi Safari muncul wira Red Giants, apabila rembatan voli rendahnya pada minit ke-88 menewaskan Khairul Fahmi di gawang Melaka United sekaligus menghadiahkan kemenangan keempat buat Selangor dalam Liga Super 2021.

Selangor FC melonjak ke tangga kelima dengan 14 mata manakala kekalahan ketiga buat skuad Zainal Abidin Hassan menyaksikan mereka kekal bergelumang di zon penyingkiran, berada di tangga kesepuluh dengan tujuh mata, hanya dua mata mengatasi Sri Pahang.

Dalam satu lagi aksi di Stadium MBBJ, Penang FC mencicirkan mata sekali lagi apabila sekadar seri 1-1 menentang PJ City.

V.Ruventhiran meletakkan skuad P.Maniam mendahului 1-0 di babak pertama namun jaringan Casagrande menyelamatkan satu mata buat skuad Thomas Trucha yang sebelum ini dikecewakan Sabah FC dengan keputusan seri 1-1 di laman sendiri.

Sementara itu dalam aksi Liga Premier, hasrat Kelantan FC melakar kemenangan ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas tewas kepada Negeri Sembilan 1-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Bekas kapten skuad kebangsaan Zaquan Adha Abd Radzak meletakkan skuad Hoben Jang Hoben di depan seawal minit keempat sebelum The Red Warriors mengikat kedudukan menerusi Mario Arques pada minit ke-54.

Zaquan Adha sekali lagi meledak pada minit ke-70 untuk membantu Negeri Sembilan melakar kemenangan kelima musim ini sekaligus melonjak ke tangga teratas Liga Premier.

Foto : Selangor FC

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.