Hanya beberapa hari selepas mencipta gempak dengan menyatakan hasrat mahu membeli pasukan bolasepak Kelantan, Wan Kamal Wan Napi nampaknya telah berubah fikiran.
Menurut Wan Kamal sepertimana dilaporkan Harian Metro, beliau terpaksa melupakan hasratnya itu selepas berbincang dengan peguam, ahli keluarga serta mendapatkan pandangan rakan-rakan di Malaysia serta individu yang mahir mengenai Liga Malaysia.
“Saya adalah peminat setia Kelantan dari dulu hingga sekarang. Saya hanya nak bantu pasukan yang mengalami masalah kewangan kerana Tuhan gerakkan hati.
“Selepas berbincang dan meneliti, saya putuskan untuk beri peluang kepada pihak lain dahulu. Dengan masalah Covid-19 yang menyukarkan perjalanan dari satu negara ke satu negara, saya terpaksa lupakan dulu buat sementara.
“Lagipun saya dimaklumkan bahawa terdapat tiga lagi calon pembeli yang berhasrat untuk membeli Kelantan FC. Jadi saya mengundur diri untuk memberi ruang kepada mereka untuk membeli dan membawa perubahan dalam KAFA.
“Mereka lebih berhak untuk membelinya sebab mereka menetap di sana (Malaysia). Senang nak mengurus,” kata Wan Kamal yang juga bapa kepada dua pemain muda Wan Kuzain, Wan Kuzri serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal.
Laporan media tempatan pada minggu lalu mendedahkan keinginan Wan Kamal yang menetap di Amerika Syarikat mahu menyelamatkan bolasepak Kelantan yang dihimpit masalah kewangan kritikal daripada berkubur, namun dengan syarat segala hutang diselesaikan terlebih dahulu tanpa membabitkan pemilik baru.
Persatuan Bolasepak Kelantan yang teruja dengan laporan media itu, terus mengadakan perbincangan sesama mereka dan menetapkan RM3 juta sebagai harga jualan dan RM1 juta untuk bayaran royalti setahun, manakala hasil keuntungan jualan tiket, jersi, cenderamata dan geran Liga-M diserahkan sepenuhnya kepada pemilik kelab.
Sementara itu, Wan Kamal berharap mana-mana pemilik baru nanti mengutamakan kebajikan pemain dan tidak culas membayar gaji.
“Pemain seperti rakyat biasa ada anak bini untuk dijaga dan kalau gaji disekat atau ditunda, macam mana mereka nak beli makanan untuk anak isteri mereka. Tempat tinggal kena bayar lagi, anak sekolah nak kena jaga, pakaian nak kena beli dan lain-lain keperluan harian.
“Jika anak saya sendiri pun kalau tidak dibayar gaji selaku pemain profesional saya juga sensitif. Jadi urus lah dengan baik demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Foto : Kelantan FA