Wan Kuzri akui tertekan tatkala Malaysia B-19 kena belasah lagi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas kecundang 1-6 kepada pasukan Liga Super PJ City FC dalam aksi persahabatan pada minggu lalu, skuad Malaysia B-19 sekali lagi kena belasah, kali ini 0-4 di tangan pasukan Liga Premier, Selangor II pada Rabu.

Skuad kendalian Brad Maloney yang dalam persiapan untuk beraksi di Kejuaraan AFC B-19 pada bulan Oktober depan, tewas menerusi dua jaringan T.Saravanan serta jaringan masing-masing oleh Armin Maier dan Nazrin Mohamad Nasir dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan FAS.

Pemain yang pantas menjadi tumpuan selepas dua kekalahan besar itu adalah pemain tengah berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Kamal, yang mengakui perhatian diberi dan ekspetasi tinggi yang diletakkan ke atasnya sedikit sebanyak membuatkannya tertekan.

“Memang ada jangkaan tinggi dan sudah tentu ia boleh dilihat sebagai memberi tekanan kepada saya.

“Tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya kerana kalau ia sering difikirkan, perkara itu akan sentiasa berlegar dalam kepala saya.

“Saya sedaya upaya cuba menyesuaikan diri kerana fokus saya untuk membantu pasukan dan sebab itulah saya berada di sini,” kata Wan Kuzri yang juga adik kepada Wan Kuzain itu dipetik dari BH Sukan.

Baca : Kejuaraan AFC B-19 mungkin turut ditunda 

Sebagai rekod, Wan Kuzri menyertai kem latihan pasukan B-19 pada pertengahan bulan Julai dan reputasi gah sebagai pemain Akademi Bolasepak St Louis membuatkan ramai mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya.

Meskipun setakat ini belum ada apa-apa yang luar biasa ditunjukkan pemain berusia 20 tahun itu namun dia berpendapat dapat menyerlahkan bisa sebenar tepat pada waktunya sekaligus memenangi tempat dalam senarai akhir 23 pemain ke Kejuaraan AFC B-19.

Brad Maloney ketika ini sedang rancak membuat penilaian tatkala terdapat keraguan sama ada kejohanan itu akan diteruskan atau ditunda, namun apa sekalipun keputusan diambil oleh AFC dia berharap pemainnya menjadikan dua kekalahan ini sebagai pengajaran berguna.

“Aksi yang sungguh mencabar dan menuntut pemain saya bekerja lebih keras tetapi memang inilah yang diperlukan pemain. Kita menentang pasukan yang baik dan dengan sedikit kesilapan sahaja, kami dihukum. Ini sebahagian daripada proses pembelajaran untuk anak buah saya,” ujar Brad Maloney.

Foto : Persatuan Bolasepak Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.