Wan Kuzri : Mewakili Amerika Syarikat mahupun Malaysia adalah satu kebanggaan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas menjalani kuarantin selama 14 hari, akhirnya kelibat pemain muda berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal dapat disaksikan buat pertama kali dalam sesi latihan skuad B-19 kebangsaan.

Dalam sesi temuramah pertamanya bersama media tempatan, Wan Kuzri mengakui dia teruja dan meluahkan keyakinan boleh menyesuaikan diri dengan skuad kendalian Brad Maloney itu seterusnya menepati ekspetasi tinggi diletakkan ke atasnya.

“Sudah lama saya tunggu saat ini untuk beraksi bersama skuad B-19 negara dan akhirnya saya berpeluang untuk membuktikan kemampuan saya bagi merebut tempat dalam skuad negara.

“Saya masih lagi mencari keserasian, saya tidak tahu banyak perkara mengenai pasukan ini dan bersifat terbuka memandangkan bola sepak adalah permainan bersifat universal, saya akan cuba beraksi mengikut pendekatan yang telah ditetapkan pengendali pasukan.

“Di Amerika, permainan yang bersifat fizikal sangat diketengahkan di sana, saya akan menggunakan pengalaman beraksi di sana bersama skuad B-19 negara.

“Sejujurnya saya tidak memikirkan mengenai ekspetasi penyokong atau orang ramai, saya akan berusaha untuk bermain dengan baik. Saya rasa permainan saya agak kreatif dan akan menerapkannya ke dalam pasukan ini.”

Baca : Saharudin pernah disangka sudah meninggal dunia kerana kemalangan

Mengenai tanggapan segelintir penyokong bahawa jiwanya lebih kuat mahu bermain dengan Amerika Syarikat berbanding Malaysia sepertimana abangnya Wan Kuzain, ini jawapan Wan Kuzri.

“Saya sentiasa berbangga untuk mewakili AS ataupun Malaysia. Tapi abang (Wan Kuzain) ada katakan kepada saya supaya ambil peluang ini untuk memberikan sesuatu kepada pasukan dan beraksi dengan baik,” tambahnya.

Sementara itu, Maloney bersikap realistik dan memberi masa kepada pemain itu untuk menyesuaikan diri.

“Dia pemain muda dan saya yakin dia boleh uruskan diri dia. Saya tidak harapkan sesuatu yang terlalu tinggi dari dia, kerana dia pun tidak menyentuh bola lebih dua minggu.

“Tapi sudah pasti kami akan pantau dia terutama dari segi kecergasan dan kami akan bagi dia masa. Kami harap dia boleh tunjukkan bakatnya,” kata Maloney.

Skuad B-19 negara ketika ini dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.