Wan Rohaimi : “Tak Boleh Kata Naturalisasi Gagal Selepas Hanya Satu Dua Perlawanan”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan Wan Rohaimi Wan Ismail meminta penyokong supaya tidak cepat menghukum dan membuat rumusan bahawa program naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai gagal.

Prestasi buruk pemain naturalisasi terutama Guilherme De Paula termasuk dalam dua aksi persahabatan terbaru minggu lalu mengundang kritikan ramai sehingga penyokong meminta dia tidak lagi dipanggil selepas ini.

Manakala Liridon Krasniqi pula disisihkan selepas prestasi mengecewakan ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu.

Mohamadou Sumareh pula menyerlah ketika awal dia dinaturalisasikan pada 2018 namun prestasinya juga merudum pada tahun ini.

Dalam temuramah esklusif bersama Labola Malaya, Wan Rohaimi yang menyarung jersi kebangsaan selama hampir tujuh tahun, mengatakan program naturalisasi atau pemain naturalisasi itu gagal hanya dengan melihat mereka dalam beberapa perlawanan adalah penilaian tidak tepat.

Secara keseluruhan, Guilherme De Paula telah beraksi lima perlawanan manakala Liridon Krasniqi pula empat perlawanan (hanya satu perlawanan penuh 90 minit).

“Nak kata gagal, tak boleh hukum satu-satu projek dalam jangka masa pendek. Mungkin projek naturalisasi baru bermula dan kita perlu berikan ruang dan menyokong. Kita tak boleh terus kata negatif tak boleh.

“Saya tak nafikan tiga pemain naturalisasi ada kehebatan tersendiri, yakin akan membantu pasukan kita nanti. Kita perlu beri ruang dan masa, jangan nak hukum hanya pada satu dua game, mungkin sebelum ini ada keadaan tak membantu, tak kena dari segi keserasian sebagainya.

“Saya yakin ketiga-tiga mereka dah buktikan kehebatan di liga. Cuma dia nak blend dengan pemain kebangsaan lain perlukan masa.

“Sudah tentu barisan jurulatih yang dalam skuad kebangsaan sekarang lebih jelas apa visi dan misi mereka. Saya yakin benda ni (program naturalisasi) walaupun tak banyak tapi akan memberikan hasil nanti.”

Bagaimanapun Wan Rohaimi beranggapan tidak salah untuk FAM menangguhkan program tersebut kerana ia memberi ruang kepada badan induk itu menilai dan membuat perancangan lebih efektif untuk penambahbaikkan.

Malah jurulatih PDRM FC itu menegaskan segala apa dirancang FAM pastinya untuk membentuk pasukan Harimau Malaya yang lebih baik.

Ditanya jika skuad Harimau Malaya sepatutnya memfokuskan sahaja kepada kudrat pemain tempatan sepenuhnya sepertimana ketika zaman dia bermain, ini jawapan Wan Rohaimi.

“Bagi saya tak timbul soal dia pemain kacukan, tempatan atau naturalisasi. Kalau layak yes layak. Tak kira dia naturalisasi, 100 peratus Malaysia, atau kacukan. Yang layak yes layak, kalau kata semua 11 pemain yang layak tu naturalisasi, maka layak lah.

“Kita tak nak ada kronisme (pilih bulu), kalau dia layak main tak kisahla. Kita tengok pada kualiti,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.