Wan Zack yang lama sudah kembali, tunggu gegarannya!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Lebih dari satu musim kehilangan khidmat Wan Zack Haikal Wan Noor kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), Selangor akhirnya dapat menggunakan khidmat pemain itu.

Malah Wan Zack dilihat sudah kembali pada prestasi terbaiknya sekaligus membuatkan B.Sathianathan kini boleh tersenyum dengan persiapan menjelang bersambungnya Liga Malaysia.

Pemain kelahiran Maran itu menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan persahabatan yang telah diharungi Selangor setakat ini iaitu ketika menewaskan Pulau Pinang 4-1 dan kemudiannya UKM FC dengan jaringan 3-0.

“Dia telah mendapat semula sentuhan dan keyakinan, dan itu petanda baik bagi kita. Saya tidak pernah meragui kualiti Wan Zack, dia cuma tidak bernasib baik untuk mengalami kecederaan yang menyebabkannya tersisih setahun.

“Malah saya mempunyai keyakinan dia boleh mendapat tempat di dalam skuad kebangsaan jika meneruskan prestasi bagus ini. Gembira untuk melihat Wan Zack yang dulu sudah kembali, dan dia akan menjadi pemain kunci buat Selangor apabila liga bersambung,” kata Sathianathan kepada The Star Online.

Sebagai rekod, Wan Zack mengikut Sathianathan meninggalkan Felda United dan menyertai Selangor pada 2019 dengan harapan besar mahu memburu lebih gemilang tetapi mengakhiri musim tanpa satu pun penampilan.

Semuanya gara-gara kecederaan ACL yang dialami ketika pra musim pada Januari 2019 menyaksikannya tersisih selama setahun.

Ia juga merupakan kecederaan ACL kali kedua dialaminya selepas 2013 ketika bersama FC Ryukyu.

Dalam pada itu, Sathianathan mahu memanfaatkan sebaik mungkin aksi persahabatan untuk menguji kombinasi pemain.

Bekas pengendali kebangsaan itu dijangka kehilangan khidmat penyerang Ifedayo Olusegun yang masih sangkut di Lagos berikutan kekangan penerbangan disebabkan Covid19 namun tempatnya akan diisi Bajram Nebihi dari Selangor II.

“Kita akan mengharungi jadual padat apabila liga bersambung dan hanya sempat membuat sesi pemulihan antara satu perlawanan ke perlawanan jadi adalah penting untuk mempunyai beberapa pilihan pemain untuk satu posisi. Setakat ini saya gembira dengan persiapan.

“Kita masih ada Khyril Muhymeen yang akan menyertai latihan selepas pulih daripada kecederaan jadi secara keseluruhan saya berpendapat pasukan berada dalam tahap yang baik,” kata Sathianathan.

Selangor ketika ini di tangga keenam Liga Super dengan lima mata, dan mereka akan membuka tirai saingan menentang PJ City pada 27 Ogos depan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.