Wang ringgit tidak dapat membeli semangat kenegerian Zahasmi Ismail

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Zahasmi Ismail, tonggak keutuhan pertahanan Kelantan pada era 90-an.

Tangkas di dalam mengekang penyerang lawan, pantas dalam mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, kelantangan bersuara, ciri kepimpinan tinggi dan kegarangan ketika beraksi menjadikan Zahasmi Ismail antara aset bagi bukan sahaja bolasepak Kelantan, tetapi juga bolasepak negara sehingga pernah beberapa kali dipanggil menyertai kem kebangsaan.

Malahan jurulatih negara pada 1995, Claude Le Roy tidak ketinggalan daripada meminati kelibat pemain kelahiran Kampung Laut ini dan satu ketika pernah melabel Zahasmi Ismail sebagai antara pertahanan terbaik dimiliki negara meskipun jodoh Zahasmi bersama pasukan kebangsaan tidaklah panjang tetapi berkesempatan beraksi di Sukan SEA ChiangMai dan Pestabola Merdeka 1995.

“Ia adalah saat karier saya berada di kemuncak, saya mendapat kepercayaan Claude Le Roy walaupun hanya untuk 2 tahun antara tahun 1995 dan 1996, ia pengalaman yang pastinya berharga bagi mana-mana pemain untuk menyarung jersi negara. Pernah juga beberapa kali dipanggil sebelum dan selepas itu tetapi saya tidak melekat di dalam pasukan,” kata Zahasmi.

Mengimbau perjalanan karier Zahasmi yang terjun ke bidang kejurulatihan selepas bersara, segalanya bermula pada 1986 apabila beliau diberi kepercayaan untuk beraksi bersama pasukan senior Kelantan.

Sembilan tahun menyarung jersi negeri kelahiran, Zahasmi mengambil keputusan berhijrah ke pasukan musuh tradisi, Terengganu pada 1996 dalam apa yang boleh disifatkan sebagai kejutan besar bagi peminat bolasepak Kelantan khususnya.

Rasa sayang kepada Kelantan mendorongnya untuk kembali menyertai sang kijang selepas hanya semusim.

“Apabila saya memilih untuk berpindah, saya mempunyai alasan tersendiri. Ia bukan lagi rahsia, sememangnya wujud sedikit perselisihan faham ketika itu dengan pengurusan manakala Terengganu pula hadir dengan tawaran yang sukar untuk saya tolak. Namun, sebagai anak jati negeri, Kelantan sentiasa berada di hati.

“Saya kembali menyarung jersi Kelantan pada 1997 hingga 1999, kemudiannya pada saat sudah digelar veteran saya mewakili pasukan seperti TNB Kelantan, JPS Kelantan, JKR Kelantan dan menoktahkan karier saya pada 2004 dengan menyarung semula jersi Kelantan buat kali ketiga dan terakhir.

“Tiada ragu, Kelantan adalah pasukan terbaik pernah saya wakili sepanjang karier walaupun tiada sebarang pencapaian menarik untuk dibanggakan. Semangat kenegerian mengatasi segalanya, bukan wang ringgit,” jelas Zahasmi.

PERISTIWA HITAM DALAM KARIER

Perjalanan karier Zahasmi Ismail pada hakikatnya turut dicemari beberapa peristiwa hitam, termasuklah insiden dia menyerang pemain Selangor Zsolt Bucs pada 1994 serta dua pemain Terengganu Zulharisam Awang dan Jean Nyima pada 1997.

“Ketika itu bukanlah nak tunjuk ‘gedebe’ tetapi semangat kenegerian dan setiakawan mengatasi segalanya. Kerana mahu pertahankan rakan sepasukan apabila ada pemain lawan memulakan provokasi sama ada secara lisan atau fizikal, menyebabkan saya bertindak di luar dugaan, luar batasan.

“Memang sebolehnya sentiasa mencuba untuk mengawal panas baran itu, tetapi takkan nak tengok sahaja apabila lawan serang atau ludah rakan kita. Kita berkawan bukan sekadar di atas padang, tetapi persabahatan itu tetap utuh di luar padang.

“Tetapi saya dapat melihat generasi bolasepak Kelantan masa kini sudah tidak lagi mempunyai atitud seperti kami dulu, atitud cepat naik angin, panas baran. Ia satu perkembangan sangat positif kerana pemain pada hari ini sudah boleh berfikir baik buruk dan kesan kepada karier.

“Bolasepak bukan untuk membuktikan siapa ‘biso’ atau ‘gedebe’ tapi lubuk untuk cari makan. Ia sudah menjadi industri pendapatan lumayan jadi pemain-pemain jangan jejaskan masa depan dengan perbuatan yang sia-sia,” kata Zahasmi Ismail.

Rujukan : Dunia Warriors

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.