Wenger : Kegagalan Liverpool bukti Arsenal satu-satunya pasukan luar biasa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger mengakui dia melihat kegagalan Liverpool mengekalkan rekod kebal tanpa kalah mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dengan penuh kepuasan.

“Ya, itu satu bentuk kepuasan. Itu membuktikan kami (Arsenal) satu-satunya pasukan mencapai sesuatu yang luar biasa,” katanya kepada beIN SPORTS.

Wenger memimpin Arsenal menjuarai EPL 2003/2004 yang ketika itu diperkuatkan ramai bintang seperti Thierry Henry, Dennis Bergkamp dan Robert Pires tanpa tewas walau satupun perlawanan, sekaligus menyaksikan mereka digelar ‘the invincibles’.

Arsenal turut memegang rekod 49 perlawanan tanpa kalah dalam EPL bermula perlawanan terakhir musim 2002/03 hingga perlawanan kesembilan musim 2004/05.

Kedua-dua rekod itu begitu hampir untuk dipecahkan Liverpool yang tampil sebagai pasukan yang sangat menakjubkan dan berkelas dunia pada musim ini.

Di kala the reds diyakini boleh melakukannya memandangkan tiada pasukan dilihat boleh menandingi kehebatan mereka, apatah lagi skuad Jurgen Klopp itu begitu gah menang 26 daripada 27 perlawanan, rekod itu lebur tanpa diduga penuh tragis di tangan Watford.

Sebelum perlawanan menentang Watford, Liverpool hanya memerlukan enam lagi perlawanan untuk mengatasi rekod 49 perlawanan tanpa kalah Arsenal dan 11 perlawanan untuk menyamai rekod tanpa kalah semusim.

Watford yang bergelut di zon relegasi, melakar kemenangan sensasi 3-0 menerusi dua jaringan Ismaila Sarr dan kapten Troy Deeney.

Foto : Zimbio

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.