“Yang Gagal Bukan Naturalisasi, Tapi Keseluruhan Sistem Perlu Diperbetul” – Steve Darby

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kegagalan menaturalisasikan pemain yang betul antara sebab yang paling banyak dikaitkan sebagai punca skuad negara tidak menyerlah sepertimana diharapkan sepanjang tahun 2021.

Penyokong bolasepak tanah air rata-ratanya kecewa dengan prestasi ditampilkan Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang dianggap langsung tidak membantu ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka menerima kecaman dan kritikan hebat sehingga Persatuan Bolasepak Malaysia kemudiannya membuat keputusan untuk menghentikan sementara program naturalisasi. Hanya Guilherme De Paula sahaja kemudiannya dipanggil untuk kesemua baki aksi skuad negara selepas itu termasuk Piala AFF Suzuki pada bulan Disember, namun sekali lagi dia gagal membalas kepercayaan.

Sehingga ke hari ini, keyakinan para penyokong terhadap pemain naturalisasi dilihat masih samar walaupun pemain seperti Mohamadou Sumareh dan Krasniqi kembali dipanggil oleh jurulatih baru Kim Pan-gon untuk aksi persahabatan baru-baru ini.

Bagi bekas pengendali Perak dan Johor, Steve Darby, ada perkara lain perlu diperbetulkan jika mahu melihat bola Malaysia pergi jauh berbanding menyalahkan kegagalan naturalisasi semata-mata.

“Kegagalan skuad kebangsaan Malaysia bukan kerana kegagalan pemain atau naturalisasi, tetapi kerana kegagalan sistem. Mereka perlu fokus kepada memperbetulkan keseluruhan sistem, bermula daripada bawah. Saya rasa ada isu lebih penting berkait struktur perlu diberi perhatian untuk membawa kejayaan jangka panjang.

“Menambahbaik fasiliti latihan dan keadaan padang stadium juga seperkara yang penting,” ujar Steve Darby yang kali terakhir berkhidmat di Liga Malaysia bersama pasukan Kelantan FC pada 2015.

Ironinya, perkara sama pernah diluahkan oleh Bojan Hodak suatu masa dahulu, yang pernah mengkritik sistem bolasepak negara sebagai tidak betul sehingga mengakibatkan kontraknya sebagai pengendali skuad B-19 tidak disambung.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.