Yee Fatt Tersentak, Tak Tahu Punca Leandro Dan Careca Tinggalkan Perak FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt mengakui tersentak berikutan kehilangan dua pemain import Leandro dos Santos dan Careca yang mengambil keputusan meninggalkan pasukan pada minggu lalu.

“Saya mengetahui mereka tidak ada lagi bersama pasukan semalam walaupun sebelum ini sudah dapat rasakan mereka akan meninggalkan pasukan sebelum pergi ke Terengganu.

“Apabila pulang dari Terengganu, saya dimaklumkan oleh pengurusan yang mereka telah menghantar surat tamatkan kontrak dan apa sebabnya, saya tidak tahu kenapa dan perkara itu saya serahkan kepada pihak pengurusan.

“Sudah pasti situasi sekarang pasti akan membuatkan kami lagi tertekan tambahan pasukan sekarang ini berada di kedudukan bawahan liga dan saya kini seperti sudah tidak banyak pilihan pemain dalam pasukan.

“Namun, saya tetap berharap kami mampu kekal di Liga Super pada penghujung musim ini dan melihatkan dengan kerja keras serta komitmen yang ditunjukkan oleh pemain semasa berdepan KL City, pasukan masih berada di tahap moral terbaik untuk berikan saingan,” kata Yee Fatt.

Leandro dos Santos merupakan antara pemain import paling lama berkhidmat bersama Perak FC apabila beraksi selama lima musim dari tahun 2017 serta pernah membantu pasukan muncul juara Piala Malaysia 2018 manakala Careca pula sejak musim 2019.

Pada bulan Mei lalu, Perak FC kehilangan empat pemain tonggak iaitu Shahrul Saad dan Guilherme De Paula yang menyertai JDT, manakala Kenny Palraj dan J.Parthiban sertai KL City.

Sementara itu, mengenai keputusan seri tanpa jaringan menentang KL City, Yee Fatt berkata terdapat banyak peningkatan ditunjukkan pemainnya berbanding ketika tewas 0-5 kepada Terengganu FC biarpun sedikit terkilan kerana gagal meraih tiga mata penuh.

“Komitmen yang ditunjukkan pemain amat memuaskan malah mereka tahu peranan masing-masing di atas padang, memang kami inginkan tiga mata tetapi kita perlu hormati Kuala Lumpur yang juga merupakan pasukan yang bagus.

“Sekurang-kurangnya satu mata hari ini tetap saya anggap satu peningkatan selepas melihat kerja keras yang ditunjukkan pemain dan saya masih yakin pasukan ini boleh menuju sesuatu yang cemerlang tidak lama lagi.

“Beberapa pemain import seperti Jad Noureddine akan kembali bersama pasukan pada minggu depan selain Samir Ayass namun untuk perlawanan ini, saya berpuas hati dengan apa ditunjukkan Sergio Aguero yang dapat membantu pasukan ekoran ramai pemain lain yang cedera,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.