Yevhen Bokhashvili : ‘Lama sangat tak main punca susah nak skor gol’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Satu gol dalam lima perlawanan, pastinya bukan satu statistik yang bagus untuk seorang penyerang yang datang dengan reputasi tinggi ke Liga Malaysia.

Tapi itulah sedang dihadapi pemain import Sri Pahang FC, Yevhen Bokhashvili – ketika dia menyertai pasukan tok gajah pada Februari lalu, dia membawa tag sebagai ‘mesin gol’ dan dianggap pilihan tepat mengisi kekosongan ditinggalkan Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos.

Yevhen Bokhashvili yang pernah mewakili pasukan kebangsaan Ukraine di semua peringkat umur telah meledak 16 gol pada musim sulungnya bersama PSS Sleman pada 2019 dan pantas menjadi pemain tumpuan Liga 1 Indonesia.

Malah kehadirannya juga menyebabkan Sri Pahang FC membuat keputusan meminjamkan penyerang import yang telah ditandatangani lebih awal, Sergio Aguero kepada pasukan Perak II.

Bagi Yevhen Bokhashvili dia faham jika penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya, tetapi dia juga mempunyai alasan tersendiri kenapa masih belum dapat menterjemahkan sentuhan sebenar dan dilihat bergelut untuk mencipta gandingan mantap bersama Pedro Henrique.

“Saya tahu sebagai penyerang, saya dinilai dari berapa banyak gol yang saya skor, dan saya percaya saya akan menjadi lebih baik selepas ini.

“Saya telah berehat panjang, saya tidak bermain begitu lama sebelum menyertai Sri Pahang kerana Liga Indonesia ditangguhkan dan kami berlatih di gym untuk satu tempoh yang panjang. Kami hanya mula menjalani latihan penuh pada bulan Oktober, tapi hanya berlatih kerana liga tetap tak bersambung.

“Saya masuk Sri Pahang dan beberapa hari berlatih dah main pra-musim (dua perlawanan), kemudian liga bermula, terus main aksi kompetitif jadi anda boleh bayangkan bagaimana saya bergelut untuk dapatkan rentak dan momentum,” kata pemain itu.

Yevhen Bokhashvili tidak menemui sasaran dalam tiga perlawanan pertama menentang Selangor FC, Perak FC dan Melaka United, dan membuka akaun jaringan ketika Sri Pahang FC menewaskan Sabah FC 2-1 di laman sendiri pada 16 Mac lalu.

“Jurulatih (Dollah Salleh) sentiasa memberi keyakinan saya boleh buat lebih baik dan saya mahu buktikan kepada dia kepercayaan yang dia letakkan itu tidak sia-sia, saya tahu saya perlu mula jaringkan gol jika mahu pasukan mencatat keputusan positif,” ujarnya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.