Yusoff diminta buktikan naturalisasi bukan kegagalan melalui data dan statistik

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Tidak perlu menegakkan benang yang basah, buktikan program naturalisasi bukan satu kegagalan melalui data dan statistik,” demikian menurut pemerhati sukan tanah air, Zakaria Rahim yang juga bekas pengurus pasukan skuad Liga Super Selangor.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Yusoff Mahadi tidak bersetuju dengan pendapat program itu satu kegagalan.

Sebaliknya beliau meminta penyokong memberi lebih masa kepada dua pemain naturalisasi baru Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi untuk membuktikan sentuhan mereka.

Hakikatnya bukan sahaja dua pemain itu, tetapi Mohamadou Sumareh yang telah bersama Harimau Malaya sejak 2018 juga tidak dapat memberikan impak sepanjang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, menyebabkan penyokong kecewa dan patah hati dengan prestasi mereka.

Menurut Zakaria, Yusoff Mahadi tidak boleh terus berada dalam mode penafian dengan memberikan pelbagai alasan dan menerima hakikat bahawa program naturalisasi tidak mencapai hasil yang diinginkan.

“Program naturalisasi yang Datuk pengerusikan telah gagal. Tak perlu ‘bersilat lagi’. Redho dengan hakikat dan terima tanggungjawab sepenuhnya. Perlu masa apa lagi?

“Pemain yang ada sekarang ini adalah untuk kelayakan Piala Dunia 2022 dan Sukan Asia 2023, bukan untuk AFF 2021. Ada yang akan cecah 37 pada 2023 nanti. Apa justifikasi pemilihan? Apa kelebihan mereka berbanding pemain tempatan? Malaysia adalah negara berdaulat bukan kelab bolasepak professional.

“Jika nak pertahankan, bentangkan statistik mereka, berapa shooting dibuat, berapa jauh larian, berapa passing dibuat, ketepatan hantaran, berapa space dikuasai dan lain-lain. Semua pemain pakai GPS Tracking Vest di dalam jersi malam tu (lawan Vietnam) dan game sebelum.

“Rating latihan mereka juga ada direkodkan sebab semua pakai device masa training. Buktikan dengan data bahawa mereka lebih hardworking daripada anak tempatan atau pemain kacukan. Usah beri alasan berdasarkan status mereka, tetapi melalui fakta.

“Kalaupun mereka tidak bagus, sekurang-kurangnya mereka kena tunjukkan mereka sudah buat yang terbaik dan menunjukkan atitud yang menjadi contoh kepada pemain tempatan mahupun penyokong.

“Kita faham pemain tempatan tak cukup baik buat masa ni. Itu soal bakat. Maka kita perlukan booster. Naturalisasi adalah satu caranya. Kita setuju dan sokong. Tetapi bukan yang berkualiti begini. Tak ada impak yang boleh membezakan antara mereka bertiga dengan pemain tempatan.

“Malah, pemain tempatan lebih rajin atau buat-buat rajin dari mereka. Tiada urgency, tiada jati diri. Masa apa lagi diperlukan untuk mereka? Apa Datuk merepek ni?

“Sudahlah, beku kan dulu program ni. Kelayakan Piala Dunia 2026 lambat lagi, kembali sahaja kepada asas. Fokus layak ke Sukan Asia 2023 dengan tenaga tempatan dan kacukan.

“Akui kegagalan dengan hati terbuka dan jujur, ayuh mengorak langkah ke depan dengan langkah lebih membanggakan. Lihat di belakang apa yang tertinggal, buang segala sampah yang mengotori, mantapkan apa yang ada di tangan, pasang kasut baru dan maju bergerak ke hadapan. Bukan menegakkan benang yang basah kuyup lencun,” ujarnya.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan yang juga tonggak skuad yang layak ke Olimpik 1980, Bakri Ibni turut berpandangan sama dan berharap program naturalisasi akan dinilai semula.

“FAM kena duduk berbincang dan mengkaji semula program naturalisasi yang saya anggap gagal dan langsung tidak membawa faedah buat pasukan negara kita, sebaliknya ia menyebabkan pemain tempatan gagal mendapatkan peluang.

“Kalau ia diteruskan, kita akan rugi kerana perlahan-lahan pemain tempatan yang sama ‘level’ dengan naturalisasi ini diberikan peluang bermain sedangkan mereka (naturalisasi) ini tak bagus mana pun.

“Kalau mereka bagus dah tentu mereka boleh beri sumbangan kepada pasukan. Umur mereka pun dah di hujung usia, lebih baik kita fokus kepada pemain kacukan atau warisan saja.

“Dari segi semangat pun, bila kita lihat pemain kacukan cukup berkobar-kobar daripada naturalisasi. Kita boleh tengok macam mana Brendan Gan main, Corbin Ong main dan beberapa lain pemain kacukan yang main sungguh-sungguh,” kata Bakri Ibni.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.