Yusoff : Liga Malaysia batal jika tunggu Oktober

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia hanya boleh tunggu paling lewat sehingga bulan Ogos sahaja untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu.

Demikian reaksi Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

“Kalau saingan hanya boleh diteruskan pada penghujung tahun misalnya Oktober atau November, mungkin kita perlu batalkan liga. Ini sebab kita sudah tiada masa lagi kalau liga bermula pada penghujung tahun.

“Apapun, kita tunggu pengumuman rasmi dahulu daripada kerajaan yang boleh mengesahkan bahawa Liga M boleh bersambung ataupun tidak. Kita pun akan adakan perbincangan mengenai perkembangan terbaru ini,” katanya kepada BH Sukan.

FAM sebelum ini telah menghantar permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara bagi mendapatkan nasihat mengenai Standard Operating Procedure yang perlu dipatuhi bagi membolehkan Liga Malaysia disambung semula selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan.

Meskipun belum ada kenyataan rasmi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri memberi bayangan kerajaan sedia memberi kebenaran, tetapi bukan dalam tempoh satu atau dua bulan selepas tamat PKP sebaliknya hanya selepas kira-kira empat bulan.

“Mungkin terlalu awal untuk kita benarkan. Katakan PKP tamat pada Jun dan pertandingan pada Oktober atau November dengan SOP seperti yang disebutkan iaitu tanpa penyokong dan sebagainya, mungkin kita boleh lihat dan pertimbangkan,” ujar Ismail Sabri dalam sidang media pada Selasa.

Foto : FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.