Yusoff Mahadi : “Penyokong Mahu Pemain Yang Ada Minit Permainan, Jadi Janganlah Cepat Melatah”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kekalahan besar di tangan Jordan pada Rabu, bukan sesuatu yang perlu disensasikan memandangkan Tan Cheng Hoe masih dalam proses untuk menguji pemain-pemain yang telah dipanggil ke kem kebangsaan kali ini.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata pemain-pemain yang memperkuatkan Harimau Malaya kali ini adalah mereka yang mempunyai minit permainan yang tinggi bersama pasukan masing-masing sepertimana dimahukan penyokong.

Namun menurutnya ia bukan jaminan pasukan akan terus menjadi mantap kerana membentuk persefahaman dan keserasian antara pemain baru dan lama bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata.

Justeru beliau berharap penyokong bersabar serta tidak cepat melatah apabila kualiti permainan yang ditonjolkan tidak menepati apa yang diharapkan.

“Sebelum ini peminat mahu pemain yang ada minit permainan dalam pasukan, dan sekarang kita dah bawa kelompok pemain terbaik dalam liga kita.

“Gandingan pemain ini sebenarnya memang gandingan yang bagus di kelab masing-masing tetapi ia mungkin belum cukup bagus di peringkat antarabangsa lagi.

“Jadi untuk bagus di peringkat antarabangsa, kita kenalah bagi masa kepada pasukan dulu. Jangan ingat bagus di kelab tiba-tiba akan bagus di peringkat antarabangsa, di mana intensiti permainan sangat tinggi dan berbeza.

“Kita tengah mencuba mencari solusi terbaik terutama menjelang Piala AFF nanti dan ini adalah masa untuk menilai pemain yang dipanggil kali ini,” katanya kepada Arena Metro.

Antara pemain yang dipanggil pertama kali ke kem latihan dan meraih kap sulung adalah Ariff Fadzillah, Quentin Cheng, Hakimi Abdullah dan Mukhairi Ajmal – kesemuanya diturunkan di separuh masa kedua.

Yusoff juga meluahkan keyakinan Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan akan mengkaji dan memperbaiki kelemahan yang terserlah ketika kekalahan 0-4 kepada Jordan agar satu permainan lebih baik akan ditunjukkan ketika menentang Uzbekistan.

“Jordan bermain sangat pantas dan ada kelebihan fizikal yang baik. Pasukan kita juga sudah berikan yang terbaik dan kita menunjukkan kesungguhan untuk bersaing.

“Kita nampak pemain memang berkeinginan untuk bermain betul-betul dan bersungguh-sungguh biarpun kebanyakan mereka ini ada yang pertama kali beraksi dalam skuad senior di pentas tertinggi.

“Tapi bahagian tengah kita boleh dikatakan tak berapa nak menjadi. Kita banyak kehilangan bola di bahagian tengah dan bila ‘enjin’ kita tak berapa lancar, pertahanan kita akhirnya buat kesilapan.

“Bukan kita nak menyalahkan mana-mana pemain kerana mereka pun baru pertama kali digandingkan. Cuma malam tadi bahagian tengah kita agak tak menjadi. Jadi saya percaya akan ada perubahan selepas ini (aksi persahabatan menentang Uzbekistan),” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.