Yusoff Mahadi : “TCH cuma tak capai sasaran peribadi jer, takdelah buruk sangat”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi berpendapat pencapaian Harimau Malaya di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tetap membanggakan meskipun ramai yang mengkritik prestasi pasukan dalam tiga aksi terakhir.

Skuad negara menamatkan aksi Kumpulan G di tempat ketiga dengan 12 mata hasil empat kemenangan dan empat kekalahan, dan pada hakikatnya ia adalah pencapaian yang jauh lebih baik berbanding pusingan kelayakan edisi-edisi terdahulu.

Bagi Yusoff Mahadi, ini membuktikan Tan Cheng Hoe telah melakukan tugasnya dengan baik dan secara keseluruhannya hanya gagal mencapai sasaran peribadi yang diletakkan.

“Nak kata Cheng Hoe lulus atau tak, pada saya pencapaian kali ini takdelah terlalu buruk, cuma tak capai sasaran peribadi dia sendiri. Sasaran Cheng Hoe adalah untuk meraih 15 ke 16 mata dari lapan perlawanan.

“Kita dapat 12 mata, memang tak capai sasaran, tapi seperti saya kata taklah terlalu buruk. Sekarang kita kena fikir untuk persediaan perlawanan akan datang,” kata Yusoff Mahadi kepada pemberita melalui sidang media online terakhir dari Dubai.

Yusoff Mahadi turut memberitahu bahawa setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai masa depan Tan Cheng Hoe namun membayangkan kemungkinan akan ada perubahan apabila Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan bermesyuarat sebaik pulang ke Kuala Lumpur.

“Buat masa ini memang kita belum menyentuh mengenai apa-apa termasuk kedudukan Tan Cheng Hoe, tentu sekali kita nak ada satu pasukan yang lebih baik untuk pusingan ketiga dan kita akan adakan perbincangan termasuk dengan jurulatih sekali supaya persiapan yang lebih komprehensif boleh dibuat untuk menghadapi pusingan ketiga kelayakan,” kata Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM.

Sebagai rekod, Tan Cheng Hoe yang membimbing skuad Harimau Malaya bermula Disember 2017 menggantikan Nelo Vingada, berkontrak dengan FAM sehingga hujung tahun depan.

Pencapaian pertama Harimau Malaya di bawah bimbingannya adalah menamatkan kemarau kemenangan selama 16 bulan di pentas antarabangsa dengan menewaskan Bhutan 7-0 pada April 2018 sebelum muncul naib juara Piala AFF Suzuki tahun yang sama, setelah tewas kepada Vietnam dalam aksi final.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.