Yusoff : “Mana ada naturalisasi gagal, cuma tak cukup masa”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Aksi buruk ditunjukkan Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi, ketika skuad negara tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu menyebabkan ramai yang mula mempertikai projek naturalisasi skuad kebangsaan sehinggakan ada yang melabel ia sebagai satu kegagalan.

Begitupun, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Yusoff Mahadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi, tidak bersetuju dengan pendapat tersebut.

“Saya tak anggap naturalisasi pemain ini gagal. Kalau kita lihat kemunculan Mohamadou Sumareh dalam pasukan kebangsaan, dia pun agak bergelut. Saya fikir Sumareh mula menunjukkan taring ketika berdepan Indonesia.

“Kita tidak boleh kata naturalisasi ini gagal, cuma akhirnya saya kena cakap kita tak cukup masa. Bayangkan Liridon baru dipanggil masa kita nak ke UAE, dan De Paula pada Mac lalu.

“Saya masih beranggapan kualiti mereka sebagai pemain masih ada, tapi mereka belum serasi dengan pemain lain. Saya tak anggap naturalisasi ini sebagai satu kegagalan sebab kita melihat banyak pasukan lain juga menggunakan pemain naturalisasi termasuk UAE,” kata Yusoff Mahadi ketika sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

Dalam masa sama, Yusoff Mahadi juga tidak bersetuju mengatakan FAM telah menaturalisasikan pemain yang salah sebaliknya menekankan bahawa Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi mempunyai kualiti dan memenuhi kriteria yang dimahukan.

“Kalau kita lihat dari kelayakan, dua pemain ini sahaja melepasi syarat dari segi peraturan. Kita tak banyak pilihan, tapi bukan atas faktor itu kita mengambil pemain yang kurang berkualiti.

“Mereka pun melepasi saringan jawatankuasa pemilihan yang terdiri dari jurulatih yang ada nama termasuk Tan Cheng Hoe sendiri yang melihat dari segi individunya (Liridon dan De Paula) mempunyai kualiti dan boleh diberi status naturalisasi.

“Bagi masa akan datang, kita ada banyak pilihan sebab ramai pemain yang sudah lebih lima tahun (cukup syarat) dan sudah tentu kriteria pemilihan pemain itu menjadi lagi ketat dan hanya pemain yang kita fikir betul-betul boleh bantu pasukan atau yang berkualiti terbaik diserap,” katanya lagi.

Dalam perlawanan menentang UAE, De Paula dikecam kerana bukan sahaja tidak memberi impak di barisan serangan, malah dilihat tidak bermain sepenuh jiwa dan lebih banyak berjalan ketika kehilangan bola.

Manakala Liridon pula mempamer sentuhan kecundang, apabila seringkali kehilangan bola dan tidak langsung menunjukkan sebarang sentuhan kreatif.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.