Yusri Che Lah : “Allah Sayangkan Usaha dan Kejujuran Pemain Saya”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah merupakan individu paling gembira selepas pasukannya menamatkan penantian panjang untuk merasai nikmat kemenangan.

Jaringan tunggal Azhad Harraz Arman membantu Skuad Projek FAM-MSN mengejutkan Kelantan United 1-0 untuk kemenangan pertama mereka musim ini selepas mengharungi 18 perlawanan.

Yusri Che Lah tidak menjangka pasukannya dapat mengutip tiga mata mengambil kira rekod dalam perlawanan-perlawanan terdahulu dan menganggap kemenangan ini sebagai hadiah Allah atas usaha dan kejujuran pemainnya.

“Kita datang ke sini dengan sasaran tidak lepaskan banyak gol, kerana dalam dua perlawanan terdahulu kita kalah besar bolos 5 dan 4 gol tetapi rezeki kita untuk menang tanpa diduga, Allah lebih sayangkan usaha kejujuran pemain saya dan berikan hadiah cukup bermakna.

“Kami bermain tidaklah begitu bagus, tapi kami ambil peluang, ianya hadir dalam keadaan yang amat-amat kami perlukan. Semoga ia memberi motivasi untuk kita harungi baki dua perlawanan dan saya akan cuba kekalkan apa yang kita lakukan hari ini.

“Perkara utama adalah fokus sepanjang 90 minit, kalau tengok sebelum ini kita banyak kali lepaskan gol minit akhir, kali terakhir kita datang ke sini (lawan Kelantan FC) pun kita lepaskan dua gol minit akhir.

“Jadi itu adalah satu peningkatan yang boleh kita lihat,” kata Yusri Che Lah sambil berharap kemenangan ini membuktikan kepada pengkritik bahawa pasukan ini akan bertambah baik jika terus diberikan sokongan.

Dalam 17 perlawanan sebelum ini, Skuad Projek FAM-MSN yang dibarisi pelajar lepasan sekolah berusia 17-20 tahun seri tiga kali dan tewas 14 kali, dengan rata-rata kekalahan mereka adalah dengan jaringan besar.

Kekalahan terbesar mereka adalah di tangan Sarawak United (7-1) dan Terengganu FC II (6-1).

Baki dua perlawanan Skuad Projek adalah menentang Perak II pada 10 September dan Kuching City FC pada 14 September.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.