Yusri Che Lah Bersyukur Walaupun Tewas Besar Sekali Lagi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tinggal tiga sahaja lagi perlawanan untuk musim 2021 menutup tirai, Skuad Projek FAM-MSN masih gagal merubah tag mereka sebagai lubuk tiga mata dalam saingan Liga Premier.

Terbaru skuad kendalian Yusri Che Lah itu kecundang 0-4 kepada Sarawak United, kekalahan ke-14 mereka musim ini dan kekal sebagai satu-satunya pasukan tanpa kemenangan.

Ketika kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan pertama, Sarawak United menang 7-1 dan ini juga kekalahan kedua berturut-turut dengan jaringan besar selepas kecundang 1-5 kepada JDT II pada 7 Ogos lalu.

Secara keseluruhannya skuad Projek FAM-MSN telah melepaskan 52 gol dalam 17 perlawanan, purata tiga gol dalam satu perlawanan.

“Saya tetap bersyukur walaupun tewas ada nampak banyak peningkatan berlaku sepanjang sembilan minggu kita berkumpul selepas Ramadhan. Sungguhpun jurang jaringan gol dalam dua perlawanan terakhir agak besar, 5 dan 4 gol, tapi saya tahu pemain saya berusaha.

“Saya nampak kita banyak peningkatan terutama dari segi kawalan bola, walaupun kita berhadapan dengan pasukan kualiti setaraf Liga Super, bukannya Liga Premier. Pemain saya tetap berjaya mengimbangi, walaupun pada akhirnya kita melepaskan dua gol pada setiap babak.

“Bagi saya, dua gol di separuh masa pertama adalah kerana Chanturu tak dikawal dengan baik, dan hantaran yang dilakukannya juga cukup baik untuk disudahkan.

“Manakala di separuh masa kedua, di akhir babak nampak mungkin fokus kita dah habis, menyebabkan memberi gol mudah kepada lawan dan dengan pasukan seperti Sarawak United, peluang seperti itu memberi kesan mendalam kepada pemain saya,” ujar Yusri Che Lah.

Pada perlawanan di Stadium Uitm Shah Alam itu, Sarawak United mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Sandro Mendonca Da Silva pada minit ke-22 dan dan Taylor Regan pada minit ke-43.

Skuad E.Elavarasan menambah dua jaringan pada lima minit terakhir menerusi Gopi Rizqi Ramachandra dan Nur Shamie Iszuan Amin.

Foto ehsan : Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.