Yusri Che Lah : Berundurlah demi kebaikan pasukan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tinggal kurang tiga minggu sebelum Kelantan turun padang menentang UKM FC bagi aksi pertama Liga Premier 2020 yang kembali bersambung pada 22 Ogos depan, namun belum ada sebarang perkhabaran positif mengenai tunggakan gaji lebih 4 bulan pasukan itu.

Sudah lebih sebulan tanggungjawab memimpin Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) diambil alih Datuk Shaari Mat Hussin yang dikatakan mempunyai kredibiliti untuk selesaikan masalah kewangan meruncing KAFA namun apa yang menyedihkan sehingga kini tiada dana berjaya dibawa masuk.

Umum mengetahui bekas Presiden Wan Rahim Wan Abdullah telah mengakui kegagalan dan meletak jawatan tetapi langkah sama tidak diambil timbalannya Datuk Seri Afandi Hamzah (yang kini direhatkan) walaupun didesak sejak sekian lama, sejak era Tan Sri Annuar Musa beliau kebal bertahan.

Laporan Stadium Astro menyatakan itu sebagai satu punca mengapa usaha KAFA mendapatkan penaja menemui kegagalan.

Pengendali Kelantan Yusri Che Lah sedih mengenangkan situasi yang berlaku dan meminta siapapun yang menjadi punca, eloklah berundur jika ia untuk kebaikan pasukan.

“Saya tidak boleh mengatakan sesuatu mengenai majikan tetapi seandainya ia suatu perkara yang tepat dan baik untuk pasukan, adalah lebih baik kita mengorbankan diri sendiri demi kebaikan semua orang,” kata Yusri Che Lah.

SEPARUH GAJI PUN TAK DAPAT, HANYA BAYAR TOKEN

Yusri Che Lah turut mendedahkan bahawa permohonan­nya agar pihak pengurusan membayar sekurang-kurangnya separuh bulan gaji kepada pemain dan pegawai sebelum Aidiladha tidak dapat dipenuhi, sebaliknya hanya menerima sedikit token.

Ini menyebabkan beberapa pemain seperti Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran, Faredzuan Kamarudin dan Nazrin Nawi meluahkan kekecewaan terhadap kepimpinan KAFA di media sosial baru-baru ini.

“Saya perlu jujur dan tidak mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak. Apa yang disuarakan pemain (Farisham dan pemain lain) adalah disebabkan gaji tertunggak meskipun sudah dijanjikan bayaran oleh pihak pengurusan.

“Saya ada berbincang mengenai bayaran gaji sebelum kita mulakan latihan pada 22 Julai sebagai suntikan  moral kepada semua tetapi mungkin pengurusan tidak dapat beri sebulan penuh. Saya beritahu mereka jika tidak dapat penuh, separuh pun jadilah.

“Selepas itu memang ada bayaran tetapi hanya token, namun saya tidak boleh dedah berapakah jumlah yang diterima. Mungkin atas sebab itu pemain-pemain meluahkan perasaan,” ujarnya dipetik dari Kosmo.

Bekas pengendali Perlis dan Kuala Lumpur itu turut menyuarakan kebimbangan pemain-pemain tidak mampu beraksi sepenuh hati dalam baki perlawanan musim ini.

MUSTAHIL PEMAIN BERAKSI SEPENUH HATI

“Sudah pasti saya bimbang, mustahil untuk katakan saya menaruh sepenuh kepercayaan agar pemain beraksi sepenuh tenaga kerana saya tahu pemain-pemain berada dalam keadaan cukup kecewa sekarang.”

Sementara itu, Yusri juga mendedahkan tiga lagi pemain membuat keputusan angkat kaki, iaitu Arif Abdullah, Wan Afiq Wan Kasbi dan Afiq Azuan.

“Dua pemain yang meminta untuk menarik diri itu merupakan tonggak utama ketika kami bertemu UKM sebelum perlawanan ditunda sebelum ini.

“Saya tidak tahu apakah yang akan terjadi menjelang hari perlawanan pada 22 Ogos ini, adakah pemain mencukupi.

“Kalau ditanya adakah saya terkesan atau tidak, itu sudah pasti. Saya 100 peratus sedang mengalami kesulitan,” ujarnya.

Foto ehsan : Brotherhood of Silver State

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.