Yusri Che Lah bimbing skuad Projek Khas FAM-MSN beraksi di Liga Premier

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis mengumumkan pembentukan Skuad Projek FAM-MSN.

Skuad bersifat pembangunan itu akan bersaing dalam Liga Premier 2021 sebagai antara usaha FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) mencipta laluan kerjaya kepada produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN); termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Majlis pengumuman skuad itu berlangsung di Arena Futsal FAM disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Sebagai tanda kerjasama ini, Dato’ Sri Reezal melancarkan logo pasukan yang menggabungkan ciri-ciri logo AMD dan NFDP dengan panji-panji negara.

“Player’s Pathway atau laluan kerjaya pemain penting dalam ekosistem pembangunan bola sepak negara. Pemain yang berpotensi sudah tentu dikenal pasti lebih awal oleh pasukan-pasukan dalam saingan liga tempatan, tetapi bagi kelompok yang lambat matang, mereka akan mempunyai peluang kedua memastikan mereka terpilih menyertai skuad projek ini.

“Secara tidak langsung, program ini menjadi platform kesinambungan kepada pembangunan pemain memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja kebangsaan,” kata Dato’ Sri Reezal.

Bagi FAM, jalinan kerjasama bersama MSN ini menghidupkan semula persekitaran yang membawa kepada penghasilan generasi pemain yang menjadi teras kepada skuad negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta Piala AFF 2010 serta mengisi kelompongan untuk lepasan NFDP dalam struktur sedia ada.

“Selain melepaskan produk terbaik NFDP ke dalam pasaran liga sedia ada, FAM mengambil kira hakikat ada pemain berbakat yang mahu mengimbangi kerjaya dengan tuntutan akademik, maka tawaran biasiswa yang disediakan dianggap sebagai nilai tambah untuk skuad ini,” kata Datuk Haji Hamidin.

Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah, dilantik mengemudi pasukan yang akan dibarisi pemain bawah 20 tahun itu sebagai antara langkah mendedahkan mereka kepada saingan kompetitif sepanjang musim.

Memiliki 42 caps antarabangsa dari tahun 1997-2002, Yusri yang pernah menyarung jersi Perlis, Selangor dan Perak, memulakan kerjaya selaku jurulatih pada 2009 dan berpengalaman membimbing skuad Perlis di peringkat Piala Presiden/Sukma, MyKids dalam NFDP, Felcra FC, Kelantan dan Kuala Lumpur dalam saingan tempatan.

Sebagai permulaan, Yusri, 44, akan meninjau bakat dalam proses pemilihan bermula minggu ini.

Beliau dijangka menamakan senarai anggota skuad dengan menyerapkan kelompok pemain generasi kedua lulusan AMD sebagai teras.

Yusri akan dibantu oleh panel kejurulatihan yang dianggotai Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal), dengan sokongan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai anggota sokongan sains, perubatan dan teknologi sukan.

Sesi pemilihan pemain telah dirancang bermula 11 Disember, mengikut zon yang telah dikenal pasti seperti berikut:-

AMD Gambang: 11-12 Disember di AMD, Pahang

Zon Pantai Timur: 13-14 Disember di Kuala Terengganu, Terengganu

Zon Selatan: 15-16 Disember di Melaka

Zon Tengah: 18-19 Disember di Bukit Jalil @ Putrajaya

Zon Utara: 21-22 Disember di Alor Setar, Kedah

Pemilihan Akhir: 7-9 Januari 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.