Yusri Che Lah dah nampak 3 pemain boleh pergi jauh tapi tidak mahu dedahkan nama

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Prestasi buruk memanjang di dalam kempen Liga Premier 2021 sememangnya menyakitkan tetapi ia bukan bermakna tidak ada langsung pemain dari skuad Projek FAM-MSN yang menunjukkan peningkatan setelah sembilan perlawanan diharungi.

Pengendali pasukan yang mempertaruhkan skuad paling muda dalam Liga Malaysia itu, Yusri Che Lah, berkata ada tiga pemain yang ketika ini menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan.

“Tetapi saya tidak mahu dedahkan nama kerana tidak mahu mereka hilang fokus kerana memikirkan sudah berjaya, biar ini antara saya dengan pemain sahaja dan saya harap tiga pemain itu akan meneruskan peningkatan manakala pemain lain dapat mengikuti prestasi ditunjukkan mereka,” kata Yusri Che Lah selepas pasukannya mengalami kekalahan kelapan musim ini setelah dibelasah Kelantan United.

Kekalahan terbaru dalam aksi pertama mereka di bulan Ramadhan itu adalah kali keempat Yusri menyaksikan pasukannya tewas dengan defisit tiga atau lebih jaringan, di mana setakat ini mereka memegang rekod sebagai pasukan paling banyak melepaskan gol (32).

Ini menyebabkan pasukan Projek FAM-MSN saban minggu menjadi sasaran kecaman tetapi Yusri Che Lah tidak kisah dengan kritikan sebaliknya menekankan ia akan mengambil masa antara tiga ke enam bulan untuk pasukannya betul-betul menonjol memandangkan mereka datangnya dari kelompok pemain yang mentah pengalaman.

Sebelum ini mereka telah tewas kepada Terengganu II (0-4), Kelantan FC (1-2), PDRM (1-3), Selangor II (2-4), Negeri Sembilan (0-2), JDT II (0-5) dan Sarawak United (1-7) dan dianggap sebagai pasukan lubuk tiga mata dalam Liga Premier.

Skuad Projek FAM-MSN hanya meraih satu mata setakat ini berikutan keputusan seri 1-1 menentang Kuching City dengan Yusri sendiri menganggap ia sebagai keputusan yang mungkin dicapai hanya sekali dalam satu musim.

Penyertaan skuad ini dalam Liga Premier dikritik hebat pelbagai pihak termasuk bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim yang berulang kali menegaskan ini bukan cara yang betul untuk pembangunan pemain muda.

Lim Teong Kim berkata kemenangan bukan sesuatu yang penting untuk sebuah skuad remaja kerana mereka dalam proses pembelajaran, tetapi dia menegaskan kekalahan demi kekalahan tidak akan membantu pembangunan mereka dalam masa sama akan membunuh mentaliti kemenangan dalam diri setiap pemain.

Foto kredit : Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.