Yusri Che Lah enggan harapkan bantuan pasukan lain untuk layak ke Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan terlepas peluang untuk mengesahkan tempat di Piala Malaysia 2020 apabila sekadar seri 2-2 menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pada Sabtu.

Skuad tuan rumah dikecewakan menerusi jaringan penyamaan Igor Luiz tiga minit sebelum tamat permainan selepas bangkit mendahului menerusi jaringan Amirul Shafik dan penalti Nik Akif Syahiran pada minit ke-83.

Satu mata yang diraih, bermakna Kelantan dan Negeri Sembilan kedua-duanya perlu menunggu aksi terakhir musim ini pada 9 Oktober depan untuk merebut slot yang masih berbaki ke Piala Malaysia daripada saingan Liga Premier.

Pengendali pasukan, Yusri Che Lah mengakui tugas berat menanti kerana lawan mereka dalam aksi terakhir adalah Johor Darul Takzim II meskipun hanya keputusan seri yang dicari.

“Kita lepaskan peluang untuk layak ke Piala Malaysia secara merit, sudah begitu hampir meraih tiga mata tetapi dinafikan jaringan lewat.

“Kini saya harap pemain akan lebih fokus untuk perlawanan terakhir, menentang JDT II.

“Memang kita perlu sekurang-kurangnya seri tetapi kita akan pergi ke sana untuk menang walaupun JDT bukan lawan senang, lagi pula kita bermain di tempat lawan sudah tentunya mereka takkan berikan laluan mudah.

“Sepanjang musim ini hanya Pulau Pinang yang pernah menang di sana jadi kita perlu all-out,” ujar Yusri Che Lah.

Di atas kertas, lima pasukan masih berpeluang mengisi tiga slot terakhir iaitu Kelantan, Kuching FA, Negeri Sembilan, Kelantan United dan UKM FC.

Kelantan akan tetap layak walaupun kalah dengan syarat Kelantan United dan UKM FC gagal mencatat kemenangan besar, tetapi Yusri Che Lah tidak mahu mengharapkan ehsan pasukan lain dan mahu pasukannya memastikan tempat dalam saingan berprestij itu menerusi usaha sendiri.

“Memang sedap untuk didengar (boleh layak walaupun kalah) tetapi saya mahu pemain saya main untuk menang di JDT nanti, itu akan menjadi lebih manis berbanding layak dengan mengharapkan pasukan lain kalah.

“Lagipun, melakukannya pada perlawanan terakhir sudah menjadi sesuatu yang sinonim bagi saya. Tahun pertama layak ke Piala Malaysia pun pada hari terakhir, tahun lepas kekal di Liga Premier pun pada hari terakhir, kali ini nak layak ke Piala Malaysia pun pada hari terakhir,” ujar Yusri Che Lah secara berseloroh.

Sementara itu mengulas mengenai prestasi keseluruhan pemainnya ketika menentang Negeri Sembilan, Yusri Che Lah memberi kredit kepada mereka cuma berpendapat ada kesilapan yang boleh dielakkan terutama membabitkan insiden penalti untuk gol pertama dan juga peluang mudah yang diberikan untuk gol penyamaan.

“Walaupun kita bermain baik sepanjang 90 minit, tapi apabila satu kesilapan dalam bertahan kita akan dihukum, kalau kita lihat Negeri Sembilan bukan ada banyak peluang, tetapi mereka gunakan peluang sebaik mungkin.

“Jadi adalah penting pemain tidak gementar atau panik apabila mendahului, kita berada di depan, bukan ketinggalan, jadi sebaiknya fokus, tidak memberi ruang, ada 2-3 minit sahaja lagi sepatutnya kita dapat pertahankan kelebihan tersebut.”

Foto : TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.