Yusri Che Lah Gembira Skuad Projek FAM-MSN Bukan Lagi Pasukan Belasahan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Projek FAM-MSN masih gagal menoktahkan kemarau kemenangan dalam saingan Liga Premier 2021, tatkala tinggal enam perlawanan sahaja lagi untuk musim menutup tirai.

Terbaru skuad Yusri Che Lah mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Ahad, dan kekal terperosok di tangga tercorot dengan tiga mata.

Mereka adalah pasukan tunggal tanpa kemenangan dalam Liga Premier namun Yusri Che Lah gembira dengan pasukannya semakin menunjukkan peningkatan dan tidak lagi tewas dengan jaringan besar sepertimana berlaku pada aksi pusingan pertama.

Sebaik aksi Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai, Skuad Projek FAM-MSN tewas tipis 1-2 kepada Kelantan FC dan kemudiannya 1-2 kepada Selangor II sebelum mencuri satu mata dari PDRM FC.

Bukan sahaja keputusan yang menjadi keutamaan tetapi Yusri Che Lah juga sangat berpuas hati dengan peningkatan tahap kecergasan serta pemahaman taktikal yang ditunjukkan dalam keseluruhan permainan.

“Kami sangat bersyukur dengan keputusan dengan PDRM, ternyata banyak peningkatan biarpun masih ada beberapa kelemahan yang kita masih perlu perbaiki.

“Apa yang positif boleh dilihat dalam kalangan pemain ialah kecergasan serta kekuatan fizikal mereka berada di tahap yang sangat baik, begitu juga dalam memahami taktikal yang diterapkan.

“Saya harap mereka mampu terus kekalkan prestasi yang sama seperti mana telah ditunjukkan dalam tiga perlawanan sebelum ini serta mampu berikan cabaran yang lebih baik kepada setiap pencabar yang kami akan temui selepas ini.

“Walaupun begitu, terdapat beberapa aspek seperti kawalan bola, pergerakan semasa permainan dan tahap penyudah yang dilihat masih di tahap sederhana, perkara ini harus kita perbaiki,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Projek FAM-MSN dibarisi rata-ratanya pemain berumur bawah 20 tahun dari produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Ada di antara mereka baru menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Dalam pada itu, Yusri tetap berharap pasukannya dapat mencatat satu atau dua kemenangan dalam baki saingan.

“Mana-mana jurulatih sudah tentu mengharapkan kemenangan tetapi dalam situasi sekarang, saya sedar laluan tidak semudah yang dijangka.

“Kami akan berdepan pasukan-pasukan yang lebih kuat, jadi semua pemain termasuk staf kejurulatihan kena bekerja keras jika mahu mencari kemenangan.

“Bermula dengan aksi Negeri Sembilan yang saya anggap merupakan calon utama ke Liga Super, perlawanan ini saya jangka akan berikan lebih cabaran kepada pemain-pemain jika mahu mencari kemenangan,” kata Yusri Che Lah.

Foto ehsan : Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.