Yusri Che Lah kecewa teramat, hilang kata-kata dengan kekalahan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan FC gagal meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Premier apabila kecundang 0-2 kepada pasukan tangga tercorot Kuching FA pada Ahad.

Jaringan Yuta Suzuki (m-67) dan Yuki Tanigawa (m-71) menghadiahkan Kelantan FC kekalahan ketiga musim ini, menyaksikan mereka tergelincir ke tangga kesembilan liga dengan hanya lapan mata, sekaligus terkeluar dari kedudukan untuk merebut slot beraksi di Piala Malaysia.

Sebagai makluman, hanya lima pasukan teratas Liga Premier (tidak termasuk pasukan feeder) akan layak ke pertandingan berprestij itu yang akan berlangsung sejurus berakhir saingan liga.

Ia jelas cukup mengecewakan pengendali pasukan Yusri Che Lah, apatah lagi dia membawa pasukannya ke Kuching dengan keyakinan tinggi untuk meraih tiga mata, mengambil kira mood dan mental para pemain berada dalam kondisi terbaik setelah pihak pengurusan melangsaikan semua gaji tertunggak hanya beberapa hari lalu.

Kekecewaan itu cukup terserlah apabila Yusri Che Lah seperti kehilangan kata-kata ketika sidang media selepas perlawanan dan memilih untuk tidak bercakap mengenai prestasi pemainnya.

“Tiada apa-apa untuk saya komen, saya kecewa dengan keputusan ini. Keputusan malam ini saya tak boleh terima, tersangat mengecewakan, itu sahaja, terima kasih,” kata Yusri Che Lah.

Kini Kelantan FC tiada pilihan selain dari mencatat kemenangan dalam baki tiga perlawanan jika tidak mahu berputih mata terlepas aksi Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut. Tahun lalu mereka menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan ke-11 dan sekadar layak beraksi di Piala Cabaran.

Tiga perlawanan seterusnya untuk skuad The Red Warriors adalah menentang Sarawak United (25 September); Negeri Sembilan (3 Oktober) dan JDT II (9 Oktober).

Sementara itu, kemenangan buat Kuching FA menyaksikan mereka keluar dari kedudukan tercorot dan menduduki tangga ke-11 seterusnya turut menghidupkan peluang tipis untuk memburu tiket ke Piala Malaysia.

“Semangat berpasukan tinggi memacu kemenangan kita. Seperti saya selalu katakan, sedikit kesilapan akan merugikan kita, dalam masa satu saat segalanya boleh berubah. Jadi hari ini kita bermain dengan cukup baik, pertahanan dan serangan berkoordinasi dengan cukup baik. Kita tak akan berputus asa dan mensasarkan menang kesemua baki tiga perlawanan,” kata jurulatih Kuching FA Ahmad Faizal.

Foto kredit : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.