Yusri Che Lah terkejut dengan aksi luar biasa Hakimi Abdullah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah mengakui terkejut dengan prestasi ditunjukkan pemain berusia 21 tahun Hakimi Abdullah yang menjaringkan hatrik dalam kemenangan besar 5-1 ke atas UKM FC pada Sabtu.

“Hakimi adalah pemain yang saya tonjolkan pada 2018, dia masih lagi didaftarkan dalam skuad Piala Presiden.

“Hari ini, saya turunkan Hakimi di posisi bek kiri, tetapi itu bukan posisi sebenar dia, dia adalah pemain attacking, bermain di sayap. Kerana keadaan semasa di mana kita kekurangan pemain saya letakkan dia di posisi itu dan saya terkejut dengan prestasi Hakimi.

“Dia cukup menyerlah walaupun bermain di bek kiri, dia tampil dengan satu prestasi yang cukup menakjubkan.

“Apapun walau bagaimana baik sekalipun kita bermain hari ini, saya mengingatkan pemain bahawa perjuangan kita baru bermula.

“Belum lagi masa untuk mengatakan kita adalah sebuah pasukan kuat, kita baru bermula dan perlu habiskan perjuangan ini tanpa melihat kepada apa jua masalah yang telah berlaku sebelum ini. Motif kita adalah melayakkan diri ke Piala Malaysia,” ujar Yusri Che Lah.

Dalam aksi pertama Liga Malaysia selepas lebih lima bulan itu, Hakimi Abdullah mencuri tumpuan dengan meledak jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-19 dan menambah dua jaringan pada minit ke-53 dan 89.

Dua lagi gol dijaringkan Felix Chidi Odili pada minit ke-65 dan 80 manakala gol tunggal UKM FC adalah menerusi sepakan penalti Akani Sunday Wassiu.

Kemenangan melonjakkan Kelantan ke tangga ketujuh dengan empat mata.

Sementara itu, Yusri Che Lah terharu dengan komitmen ditunjukkan pemain di sebalik pelbagai kemelut melanda pasukan.

“Mereka bermain seolah tiada masalah, mereka tidak memberikan alasan. Sejujurnya saya hilang kata-kata, tiada apa yang boleh saya hadiahkan kepada mereka selain ucapan terima kasih.

“Sebelum perlawanan memang saya risau kerana kami bermula lewat, sebulan selepas saya rasa kami pasukan kedua terakhir memulakan latihan, di samping itu dengan masalah-masalah yang dilalui.

“Kami ada 25 atau 26 sesi latihan dan satu perlawanan persahabatan jadi saya risau kami dibelasah, kerana kami tidak dalam keadaan atau tahap terbaik. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana pemain saya dapat menghabiskan 90 minit, berlari dan sebagainya,” tambah Yusri Che Lah.

Foto : MFL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.