Yusri Che Lah tutup mulut pengkritik selepas raih mata pertama dalam 7 perlawanan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas enam kekalahan berturut-turut, skuad Projek FAM-MSN akhirnya meraih mata pertama mereka dalam saingan Liga Premier 2021 apabila mengikat Kuching City FC 2-2 dalam aksi di Stadium Uitm Shah Alam, pada Rabu.

Lebih manis, skuad bimbingan Yusri Che Lah itu bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk meraih satu mata sekaligus membuatkan pengendali itu menghamburkan pujian kepada komitmen dan semangat melawan barisan pemainnya.

“Saya bersyukur perlawanan ketujuh baharu merasakan satu mata yang berharga. Bukan kerana mata yang diperoleh, tetapi komitmen pemain walaupun dua kali ketinggalan.

“Malam ini sesuatu yang amat positif dari segi komitmen pemain, bagi saya 80 minit yang cukup bermakna, pada 10 minit terakhir saya rasa pemain akan perlahankan permainan, tapi pada minit akhir permainan mereka masih lagi cuba untuk mendapatkan kemenangan. Saya rasa ini satu-satunya perlawanan yang mana untuk 90 minit kami beraksi dengan komitmen yang begitu baik.

“Sebab itu saya selalu kata, daripada terus mengkritik, beri mereka sokongan. Saya tidak kata satu mata akan menutup mulut-mulut yang mengata, tetapi saya cuba berikan sesuatu yang lebih bermakna kepada pemain. Pembangunan pemain (Projek FAM-MSN) yang dimaksudkan memerlukan masa yang cukup panjang. 

“Satu tahun mereka tak beraksi kerana Covid, satu tahun tak main, belum pernah beraksi di peringkat tertinggi, kemudian dalam masa yang begitu singkat (30 hari) bermain begitu banyak perlawanan, bangkit selepas tewas dengan jaringan besar kepada JDT II, sudah tentu ia satu keputusan baik dan menyuntik lebih motivasi kepada semua di dalam pasukan,” kata Yusri Che Lah selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Kuching City bimbingan Irfan Bakti mendahului seawal minit ke-10 menerusi Yuta Suzuki sebelum Safwan Mazlan menyamakan kedudukan pada minit ke-23 untuk 1-1 di separuh masa pertama.

Alif Hassan kembali meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke 59 namun hasrat mengutip tiga mata tidak kesampaian selepas Farris Izdiham sekali lagi menyamakan kedudukan buat skuad Projek FAM-MSN pada minit ke-81.

Sebagai rekod, skuad Projek FAM-MSN sebelum ini tewas kepada Terengganu II (0-4), Kelantan (1-2), PDRM (1-3), Selangor II (2-4), Negeri Sembilan (0-2) dan terbaru 0-5 kepada JDT II.

“Bayangkan Kuching City sebuah pasukan yang kita tahu kuat dan jauh lebih baik, dengan pemain import yang mereka miliki, tinggi, saya amat risau kerana pemain saya tak tinggi mana tapi mereka berjuang sehingga minit akhir. Bukan mudah sebenarnya untuk dapat satu mata, mungkin ini hanya berlaku sekali dalam satu musim walaupun saya harap kita boleh lakukannya lagi. Sebab itu boleh tengok betapa pemain-pemain gembira dengan satu mata ini,” kata Yusri Che Lah lagi.

Menurut bekas pengendali Kelantan FC dan Kuala Lumpur City FC itu lagi, dia juga mendapatkan pandangan daripada Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee mengenai sistem permainan yang sesuai diterapkan di dalam skuadnya.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.