Yusri : Lewat mulakan latihan bukan alasan untuk mengalah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pasukan Kelantan akhirnya memulakan sesi latihan mereka pada 22 Julai, sebulan sebelum aksi pertama mereka menentang UKM FC apabila Liga Malaysia kembali bersambung bulan depan.

Mereka akhirnya mendapat lampu hijau Malaysian Football League untuk turun berlatih selepas melengkapkan dokumen yang diperlukan.

Ketua jurulatih Yusri Che Lah mengakui bukan mudah mempersiapkan pasukan dengan masa yang suntuk ini dengan aksi pertama berlangsung 22 Ogos namun berpendapat ia bukan alasan untuk mengalah.

“Pertama sekali, saya bersyukur kerana akhirnya kita dapat berlatih juga selepas sekian lama dan terima kasih kepada pihak pengurusan termasuklah MFL yang memberi lampu hijau kepada Kelantan untuk memulakan latihan.

“Sebenarnya memang masa terlalu singkat untuk kami, tetapi saya percaya semua pemain akan bekerja keras untuk melakukan sehabis baik di mana mereka juga faham mengenai situasi sebelum ini yang melambatkan proses untuk pasukan berlatih lebih awal.

“Namun, kita tahu UKM FC juga dalam situasi yang sama kerana mereka baru berlatih, jadi kelebihan tidak memihak kepada sesiapa baik Kelantan dan UKM FC sebab kedua-duanya mempunyai peluang sama rata untuk menang.

“Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri dengan segera dalam padang apatah lagi sekarang ini, pemain import dari Korea Selatan Kang Seung-Jo juga sudah meninggalkan pasukan, jadi saya tidak sanggup lagi kehilangan mana-mana pemain dan kita akan beraksi habis-habisan dengan kudrat yang ada,” kata Yusri Che Lah.

Yusri turut memberitahu, keutamaannya ketika ini sebaik sahaja memulakan latihan adalah tahap kecergasan dan keserasian antara pemain.

“Saya tahu bukan mudah untuk pemain-pemain kejar balik segala latihan rapi dalam masa yang singkat, tetapi saya ingin tekankan apa pun yang jadi, mereka harus mendapatkan kembali tahap kecergasan kerana tanpa stamina yang tinggi, apa pun tidak akan menjadi di atas padang.

“Untuk musim ini, kita fokus betul-betul bukan sahaja dalam liga, tetapi sekurang-kurangnya mampu layak beraksi di Piala Malaysia,” jelasnya.

Kelantan ketika ini berada di tangga ke-7 Liga Premier 2020 dengan hanya satu kemenangan sahaja dalam tiga perlawanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.