Yusri tegur pemain ulangi kesilapan sama selepas dibelasah 6-1 oleh TFC II

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Projek FAM-MSN turun beraksi buat pertama kali selepas 15 hari berehat, tetapi malangnya tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila kecundang 1-6 di tangan Terengganu FC II dalam aksi di Stadium Uitm Shah Alam.

Ia adalah kekalahan kesembilan dalam 11 perlawanan buat skuad kendalian Yusri Che Lah, yang kekal menghuni tangga tercorot dengan hanya dua mata.

Pada perlawanan itu, hanya 15 minit diperlukan TFC II bimbingan Badrul Afzan Razali untuk mendahului 3-0 menerusi jaringan Muslihudin Atiq (m-3) dan dua jaringan Jordan Mintah (m-6, m-15).

Jordan Mintah melengkapkan hatrik pada minit ke-48 dan menjaringkan gol keempat peribadi tiga minit kemudian, sebelum Isa Rahman melengkapkan kemenangan besar. Gol tunggal skuad Projek FAM-MSN dijaringkan Muhaimin Izuddin Muhamad Asri pada minit ke-51.

Menurut Yusri Che Lah, kekalahan ini tidak lain, berpunca daripada kesilapan pemainnya sendiri yang tidak memperbaiki kelemahan yang telah dikenalpasti sepanjang 10 perlawanan pusingan pertama sebelum ini.

“Walaupun tewas syukur kerana apa yang berlaku, masih lagi kita tahu kelemahan kita, semestinya pemain muda sentiasa lakukan kesilapan.

“Bagi saya, malam ini pemain buat kesilapan yang cukup besar yang kita telah kenalpasti dalam 10 perlawanan pertama liga, yang mana kita perlu berhati-hati dalam 15 minit pertama. Malangnya kita ditewaskan dengan tiga jaringan dalam 12 minit awal, sesuatu yang sukar untuk harungi baki perlawanan.

“Selepas tiga gol yang dilepaskan barulah kita berjaya mengimbangi permainan dan sesuatu yang perlu dilakukan pemain saya, jangan terlalu berhati-hati di awal permainan sehingga beri ruang yang amat besar kepada pasukan lawan.

“Lagipun kita tahu TFC antara pasukan terkuat di Liga Premier dan belum tewas, satu kesilapan yang kita lakukan akan membawa bencana kepada pasukan. Malam ini mereka dapat empat peluang dalam 12 minit pertama, dan tiga gol dijaringkan. Begitu juga di separuh masa kedua, awal minit lagi kita dah kena.

“Keseluruhan baki jaringan yang kita lepaskan, berpunca daripada kesilapan kita cipta sendiri, cuma satu segi yang saya berpuas hati dengan permainan pemain saya, walaupun dalam keadaan tertekan mereka masih lagi mampu keluar daripada zon padat.

“Mereka mencipta pergerakan-pergerakan yang sangat baik walaupun tiada jaringan dihasilkan, mereka perlukan masa untuk mengatasi keadaan yang boleh membuatkan kita dihukum. Mereka perlu segera bangkit, kita ada masa (rehat) selama enam minggu,” ujar Yusri Che Lah selepas perlawanan.

Secara keseluruhan selepas kekalahan terbaru ini, skuad Projek FAM-MSN mencatat rekod buruk melepaskan 38 gol dalam 11 perlawanan, purata lebih tiga gol dalam setiap perlawanan dan menjaringkan hanya lapan gol.

Foto kredit: Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.