Zafuan berhijrah demi merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya

Gassama dan Zafuan Azeman berdamai
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Demi mengejar impian menyarung jersi Harimau Malaya, bekas penyerang B-19 negara, Zafuan Azeman mengambil langkah berani meninggalkan pasukan Liga Super Penang FC dan menyertai Kelantan United yang beraksi di Liga Premier.

Pemain berusia 22 tahun itu menganggap langkah tersebut tepat kerana dia tidak mendapat peluang secukupnya untuk beraksi bersama Penang FC setelah hanya membuat tiga penampilan sebagai pemain gantian dan percaya Kelantan United dapat menawarkannya lebih minit permainan.

Malah pemain yang pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Thailand, Angthong FC itu juga meletak sasaran mahu meledak sekurang-kurangnya enam gol seterusnya membuktikan dia antara penyerang terbaik dalam Liga Malaysia.

“Semua pemain mesti rasa nak selalu bermain, tetapi kita tahu kebanyakan penyerang dalam mana-mana pasukan adalah pemain import, dan persaingan pastinya sengit.

“Bagi saya, umur saya sekarang 22 tahun bukan lagi muda dan perlu segera mencari peluang untuk beraksi supaya apabila sudah berumur 24 atau 25 tahun, prestasi semakin stabil dan dari situ, saya sasar untuk bersama skuad kebangsaan.

“Dalam baki saingan musim ini, saya nak bina kembali tahap keyakinan saya dan macam-macam mana pun kena cari peluang untuk cuba meraih sekurang-kurangnya enam atau tujuh gol,” jelasnya.

Selain Zafuan Azeman, barisan serangan Kelantan United FC turut diperkasa oleh Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi serta penyerang import, Gassama Alfusainey.

“Saya gembira apabila berada di sini, dan saya dapat rasakan tahap kecergasan saya semakin memuaskan ketika berlatih bersama mereka.

“Rakan sepasukan yang lain juga semuanya memberi kerjasama yang cukup baik dan sekarang banyak melakukan keserasian bersama penyerang lain seperti Gassama.

“Saya harap kehadiran saya dapat membantu Kelantan United untuk cuba layak ke Liga Super pada musim hadapan,” tambahnya.

Skuad kendalian Akira Higashiyama ketika ini menduduki tangga kelima Liga Premier 2021 selepas mengumpul 16 mata dari 11 perlawanan.

Persiapan skuad juara Liga M3 2019 ini untuk mengharungi baki saingan dilihat berjalan lancar, dengan pemain-pemain telah melapor diri calam Camp Based Training sejak 7 Jun lalu.

Pemain-pemain juga bebas kecederaan kecuali hanya penjaga gol Ramadhan Hamid yang dalam fasa akhir pemulihan.

Foto kredit : Kelantan United FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.