Zahasmi direhatkan, masalah gaji dikaitkan prestasi buruk Kelantan United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Zahasmi Ismail menjadi ketua jurulatih pertama bagi musim pendek Liga Malaysia 2020 untuk direhatkan susulan prestasi buruk Kelantan United FC (KUFC) dalam tiga aksi terakhir.

Kelantan United dilabel pasukan pilihan sebelum saingan Liga Premier ditangguhkan pada bulan Mac lalu apabila menduduki tangga kedua dengan sembilan mata.

Tetapi, selepas liga kembali bersambung pada hujung bulan lalu, mereka gagal mengekalkan prestasi sama apabila kecundang kepada JDT II, Kuala Lumpur dan terbaru kepada UKM FC.

Justeru itu, pihak pengurusan Kelantan United yang mengadakan mesyuarat tergempar membuat keputusan merehatkan Zahasmi Ismail serta dua penolongnya, Sazami Shafii dan Zahariman Ghazali.

“Tindakan drastik ini terpaksa diambil setelah penilaian menyeluruh prestasi semasa selain keinginan pucuk pimpinan kelab untuk melihat Kelantan United FC kembali menunjukkan persembahan memberangsangkan seterusnya bersaing cemerlang dalam baki empat perlawanan selepas ini.

“Ketua jurulatih interim yang mengambil alih tugas Zahasmi akan diumumkan pihak KUFC dalam masa terdekat sebelum perlawanan dengan Sarawak United FC, Jumaat ini (18 September).

“Pihak KUFC turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Zahasmi Ismail serta pembantu atas sumbangan khidmat membawa Kelantan United FC menjuarai Liga M3 2019 serta mara ke saingan Liga Premier musim ini,” kata Presiden kelab, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dalam satu kenyataan.

Selepas Sarawak United, baki tiga perlawanan pasukan Kijang Hijau adalah menentang Terengganu FC II (27 September); Pulau Pinang (2 Oktober) dan Selangor II (9 Oktober).

Selain kehilangan momentum kerana berehat terlalu lama, kemerosotan prestasi pasukan Kelantan United turut dikaitkan dengan masalah tunggakan gaji.

Menurut sumber, “Semua pasukan termasuk KUFC terpalit dengan masalah gaji, banyak situasi tidak terjangka telah berlaku terutama kerana Covid-19 tetapi isu di KUFC tidaklah serius kerana kelab tidak abaikan pembayaran.

“Kita telah selesaikan secara berperingkat walaupun tidak sepenuhnya, pembayaran terbaru telah dibuat sebelum perlawanan menentang UKM FC.

“Malah satu lagi pembayaran dibuat pada 14 September dan jika tiada aral, dalam satu atau dua minggu, kelab akan membuat lagi pembayaran gaji pemain dan pegawai.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.